BAGAIMANA PEMAJU MAMPU BAYAR RM500 JUTA KEPADA FELDA? KENAPA FELDA PILIH SYNERGY PROMENADE SEDANGKAN IA ADA ENCORP BERHAD?




Saya meneliti jawapan-jawapan yang cuba diberikan oleh Tan Sri Shahrir Samad apabila saya membangkitkan beberapa persoalan utama mengenai kedudukan dan kepentingan Felda berhubung tanah-tanah di Jalan Semarak:

1) Bagaimana Tan Sri Shahrir Samad boleh mengatakan Felda telah mendapatkan kembali hakmilik ke atas tanah itu sedangkan hakmilik akan bertukar kepada hakmilik strata yang akan dijual kepada pembeli?

2) Jika Felda meneruskan juga pembangunan Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di atas tanah-tanah itu seperti yang ditandatangani dengan pemaju Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) yang ditandatangani dalam tahun 2014, itu bermakna Felda akan hilang tanah itu untuk selama-lamanya?

Dalam temuramah dengan media yang dilaporkan semalam, Tan Sri Shahrir Samad dengan terbuka mengakui bahawa hakmilik tanah itu memang akan bertukar menjadi hakmilik strata yang akan dimiliki oleh pembeli unit-unit hartanah yang dibangunkan SPSB di atas tanah itu.

Fakta yang paling asas yang perlu diketahui oleh peneroka Felda dan rakyat Malaysia:

Tan Sri Shahrir mengakui bahawa “apabila tanah itu dibangunkan menjadi unit terbina, pemilikan unit terbina ini adalah dengan pembeli. Semua orang tahu, kan? Jadi perdebatan itu tentang apa? Apa yang ada mahu didebatkan?”

Sebenarnya ada banyak perkara yang wajib didebatkan mengenai skandal ini, apatah lagi kerana ia ditimbulkan sendiri oleh Tan Sri Shahrir Samad sebagai Pengerusi Felda.

Kita wajar bermula dengan dua perkara pokok yang perlu dijawab oleh Tan Sri Shahrir Samad:

i. Setelah Tan Sri Shahrir mengakui sendiri bahawa pemilikan tanah ini akhirnya akan bertukar tangan kepada pembeli unit-unit hartanah, berapakah keuntungan yang akan diperolehi Felda dengan memberikan tanah ini kepada pemaju Synergy Promenade Sdn Bhd?

ii. Kalau pun Felda mahu memajukan tanah ini untuk mendapat keuntungan, kenapa tanah ini diberikan kepada syarikat pemaju swasta sedangkan anak syarikat Felda iaitu Encorp Berhad adalah sebuah pemaju yang berpuluh kali ganda lebih besar dan berpengalaman?

Untuk memahami kenapa skandal ini perlu terus diberikan tumpuan untuk mendapatkan penyelesaian yang melindungi kepentingan rakyat, saya sertakan keratan akhbar oleh New Straits Times bertarikh 13 Mei 2014:

Dalam tahun 2014, Felda membayar RM239.7 juta untuk menjadi pemegang saham majoriti di dalam Encorp Berhad, iaitu sebuah syarikat pemaju yang disenaraikan di Bursa Kuala Lumpur. Ini dilaporkan oleh The Edge bertarikh 7 Mei 2014 iaitu seminggu sebelum berita mengenai pembangunan semula tanah-tanah Felda di Jalan Semarak.

Menurut Laporan Tahunan Encorp Berhad 2016 yang dikeluarkan pada 28 April 2017, pegangan Felda di dalam Encorp Berhad adalah sebanyak 70.82%.

Mengambil kira tawaran umum (general mandatory offer) yang dibuat oleh Felda untuk membeli saham-saham yang belum dimilikinya pada 31 Mac 2017 pada harga RM1.55 sesaham, saya menganggarkan jumlah keseluruhan yang dibayar oleh Felda untuk menguasai 70.81% saham Encorp Berhad adalah RM316 juta.

(Rujuk laporan media di bawah mengenai tawaran Felda untuk membeli saham-saham berbaki pada harga RM1.55 sesaham. Peningkatan saham dari 49.45% sebelum tawaran kepada 70.81% selepas tawaran bermakna Felda membeli 47.6 juta saham pada harga RM1.55 sesaham, sebagai tambahan kepada bayaran RM239.7 juta yang dibayar untuk membeli 49.45% saham).

Saya ingin menyuburkan kembali ingatan Tan Sri Shahrir Samad bahawa salah satu sebab utama Felda membayar sedemikian harga (RM316 juta) untuk membeli Encorp Berhad ialah supaya anak syarikat Felda sendiri membangunkan tanah-tanah miliknya, termasuklah tanah-tanah bernilai di Jalan Semarak yang potensinya dianggarkan mencecah RM1 bilion.

Sebab itu seminggu selepas membayar RM240 juta membeli Encorp dalam tahun 2014, berita-berita milik Umno sendiri melaporkan rancangan Felda menggunakan Encorp untuk membangunkan tanah-tanah tersebut.

Maka, isu paling penting yang saya ingin debatkan dengan Tan Sri Shahrir Samad:

Kenapa Felda mengubah pendirian dari melantik anak syarikatnya sendiri iaitu Encorp Berhad untuk membangunkan tanah-tanah tersebut, sebaliknya menyerahkan tanah itu kepada syarikat pemaju yang tidak dikenali iaitu Synergy Promenade Sdn Bhd?

Perkara kedua yang paling penting yang saya ingin debatkan ialah mengenai pulangan kewangan kepada Felda setelah menyerahkan tanah itu kepada SPSB?

Menurut Tan Sri Shahrir, pemaju itu perlu membayar RM500 juta tunai atau RM10% dari jumlah kasar pembangunan (gross development value, GDV) yang mana lebih tinggi kepada Felda, seperti laporan BERNAMA bertarikh 15 Januari 2018:

Soalan yang ingin saya debatkan dengan Tan Sri Shahrir mengenai perkara ini ialah:

i. Bagaimana SPSB hendak membayar RM500 juta kepada Felda sedangkan ia tidak mempunyai sebarang sumber kewangan lain dan tiada aktiviti lain?

ii. Apa kemampuan kewangan SPSB apabila ia terpaksa berhutang RM100 juta dari bank dengan memberi jaminan harta peribadi pengarah-pengarah?

iii. Adakah SPSB menukar hakmilik lalu dicagarkan kepada bank untuk mendapat RM100 juta pinjaman itu?

iv. Jika benar tanah-tanah Felda dicagarkan, bukankah lebih baik ia diberikan kepada Encorp kerana sekurang-kurangnya tanah-tanah itu kekal di dalam syarikat Felda dan bukannya diserahkan kepada pemaju swasta yang tidak ada rekod?

Saya akan terus menunggu jawapan dari Tan Sri Shahrir dan terus berdebat dengan beliau melalui media sehinggalah tanah-tanah itu kembali sepenuhnya kepada Felda, bukannya sandiwara yang dimainkan setakat ini.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN