Mahathir akui konspirasi politik, mahu Anwar bebas dan bertanding PRU14


KUALA LUMPUR, 6 JUL: “Jelas sekali keputusan mahkamah dipengaruhi kerajaan dan saya rasa kerajaan akan datang akan mampu memujuk Agong untuk memberikan pengampunan Di Raja kepada Anwar.
“Dalam keadaan dia mampu terlibat kembali dalam politik dan menjadi PM. Saya tidak ada bantahan,” demikian kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam temubual bersama akhbar The Guardian hari ini.
Beliau malah mengulangi desakannya supaya Anwar dibebaskan dan dibenarkan kembali terlibat dalam politik.
“Dalam kes Anwar kita boleh berhujah yang dia tidak dilayan secara adil,” tambah beliau yang memecat Anwar pada tahun 1998.
Tun Mahathir juga mengakui bahawa tribulasi yang berlaku terhadap bekas timbalannya itu pada waktu ini merupakan mangsa dendam politik.
Dalam perkara berkaitan, peguam Anwar kini sedang berusaha untuk membebaskannya daripada penjara selepas wujud bukti terbaru muncul mengaitkan pendakwaraya kerajaan dibayar RM9.5 juta daripada akaun bank peribadi milik Perdana Menteri Najib Razak.
Tan Sri Shafee Abdullah, yang digaji kerajaan untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes tersebut memberitahu wartawan yang beliau akan memberikan maklum balas tentang perkara itu pada 9 Jun lalu tetapi sehingga kini masih belum berbuat demikian.
Sementara itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga mengarahkan kerajaan dan Shafee untuk memberikan balasan jawapan kepada permohonan Anwar untuk mengetepikan sabitan jenayahnya.
Ini susulan pendedahan Sarawak Report pada 31 Mei yang mendakwa bahawa Shafee dibayar sejumlah wang daripada akaun bank yang dikawal perdana menteri. 

No comments: