Ikrar Bebas Rasuah: Surat pun tak dapat, macam mana nak buat keputusan?


GEORGE TOWN, 17 JUL: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa melakukan serangan bersifat politik apabila menuduh kerajaan negeri Pulau Pinang kononnya tidak serius memerangi rasuah kerana enggan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).
Sedangkan, Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata, kerajaan negeri tidak dapat membuat keputusan tentang IBR kerana SPRM tidak menghantar sebarang surat rasmi kepada ketua menteri, Lim Guan Eng.
“Macam mana kerajaan negeri Pulau Pinang boleh buat keputusan sama ada setuju atau tidak dengan IBR sekiranya tidak menerima sebarang surat daripada SPRM?” soalnya dalam kenyataan, hari ini.
Ketua Pesuruhjayanya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad seperti dilaporkan media Sabtu lepas menyerang kerajaan negeri Pulau Pinang kononnya enggan menandatangani IBR.
Hon Wai yang juga Adun Air Hitam berkata, adalah tidak adil bagi SPRM untuk menyerang kerajaan negeri seperti seorang ahli politik apabila tidak menulis sebarang surat rasmi kepada ketua menteri berhubung perkara berkenaan.
“Serangan SPRM terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang adalah tidak berasas serta juga dilihat berat sebelah dan cenderong kepada Barisan Nasional (BN), kerana menggunakan laporan-laporan pemimpin BN Pulau Pinang atau badan bukan kerajaan (NGO) yang pro-BN.
“Bolehkah SPRM menulis surat kepada Ketua Menteri yang menwaikili Kerajaan negeri Pulau Pinang, atau mereka lebih berminat membuat serangan politik menjelang pilihanraya umum ke -14?” ujarnya.
Malah, katanya, ketua menteri pernah menerima lawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low untuk menandatangi ikrar integriti, namun tidak mencapai persetujuan apabila pemimpin BN itu enggan memasukkan syarat “mewajibkan semua pemegang jawatan pentadbiran kerajaan mengisytiharkan aset peribadi mereka secara umum” dalam ikrar itu