Gandingan Mahathir – Anwar mampu isi kekosongan kepimpinan Melayu
Gandingan 2 pemimpin yang satu masa dulu memimpin Malaysia di “era kegemilangan” dulu untuk mencabar Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang bakal memacu kebangkitan semula pembangkang, kata pengerusi DAP Johor.
Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong, yang juga mengetuai biro pendidikan DAP, berkata Tun Dr Mahathir Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu mengisi kekosongan pimpinan Melayu berkaliber di saat pengundi Melayu tidak senang dengan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.
“Setengah abad lalu, masing-masing mempunyai pengikut yang taat dari seluruh pelusuk negara. Malah ada pengikut mereka yang sanggup mengorbankan diri tatkala berlakunya pergolakan politik antara mereka sehingga Anwar dipenjarakan.
“Tiada pemimpin Melayu lain memiliki pengaruh sebegitu besar seperti Mahathir dan Anwar,” katanya dalam penulisannya hari ini.
Menurutnya, ahli politik lain tidak menikmati kesetiaan penyokong yang mendalam seperti Dr Mahathir dan Anwar.
Menurutnya, rakyat akan merasai perubahan kerajaan yang akan diterajui kedua tokoh itu seperti mana “era kegemilangan kerajaan 1990-an”, sebelum berlaku apa yang dipanggilnya “tragedi Mahathir-Anwar” pada 1997.
Anwar merupakan menteri kewangan dan timbalan perdana menteri di bawah Dr Mahathir, sebelum dipecat pada September 1998, disusuli dengan penangkapannya di bawah ISA dan pendakwaan atas tuduhan salah laku kuasa dan seks.
Anwar merupakan seorang pemimpin pelajar pada 1970-an, dan selepas Dr Mahathir mengambil alih kerajaan, Anwar dilantik ke dalam Kabinet.
“Anwar dilihat sebagai anak politik Dr Mahathir selepas penyertaannya dalam Umno pada 1982 sehingga pemecatannya pada 2 September 1998,” kata Liew.
Minggu lalu, Pakatan Harapan, gabungan 4 parti PKR, DAP, Amanah dan PPBM, mengumumkan barisan kepimpinannya. Anwar dilantik ketua umum, manakala Dr Mahathir dilantik pengerusi.
Liew berkata pengaruh dan sokongan yang dinikmati kedua-dua tokoh itu tidak dapat ditandingi Najib.
Beliau mengakui mereka pernah dilabel pemimpin “ultra” yang tidak disenangi rakyat bukan Melayu.
“Namun kedua-duanya membuat perubahan yang kemudiannya mendapat penghormatan dan ketaatan daripada penyokong bukan Melayu melalui Wawasan 2020 oleh Dr Mahathir. Anwar pula mendapat sokongan bukan Melayu pada 1990-an sewaktu bersama Pakatan Rakyat.”