Menteri Umno dinasihati hormati Ramadan, tidak guna platform masjid tabur fitnah



Tengku Adnan Mansor
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor disaran agar banyak memohon keampunan dari Allah SWT dan bertaubat daripada leka menebarkan fitnah di bulan Ramadan ini.
Gesaan itu dibuat Ketua Wanita Amanah Nasional (Awan) Dr Siti Mariah Mahmud ketika mengulas tuduhan melulu Adnan di majlis penyerahan bantuan di sebuah masjid di Cheras, semalam.
"Mudahnya Menteri Wilayah ni lempar fitnah bukan saja pada lawan dia tapi juga kepada rakyat negeri Selangor.
"Sempena bulan Ramadan ni, eloklah Ku Nan banyak-banyakkan istighfar dan bertaubat dari memfitnah," tegur Dr Mariah yang juga Ahli Parlimen Kota Raja.
Tengku Adnan ketika berucap pada program berbuka puasa di ruang parkir Masjid Jamek Alam Shah, Cheras, Kuala Lumpur sempat menempelak pemimpin pembangkang khususnya Ahli Parlimen Subang R Sivarasa yang disifatkan sebagai 'ketagih mikrofon'.
Berucap pada Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan di masjid itu, Tengku Adnan yang mengkritik pemimpin pembangkang kerana bercakap tentang politik di masjid membidas Sivarasa yang didakwa mencemarkan kesucian Masjid An Nur Kampung Melayu Subang apabila memberi ceramah berkaitan politik pada Rabu lalu.
"Saya bukan cakap politik tapi Sivarasa cakap politik. kita bawa (Timbalan Menteri Wilayah) Datuk Loga (Bala Mohan) tapi dia pun tak cakap politik (dalam masjid).
"Kita datang buka puasa, kita sembahyang dia pun balik bukan ambil mikrofon cerita dalam surau, cerita dalam masjid mengenai politik..
"Inilah puak-puak yang ketagih yang tak ada program yang tak pernah jumpa rakyat jadi dia jadi ketagih, bila ketagih mereka akan lakukan apa-apa yang boleh menghilangkan ketagihan mereka," katanya.
Adnan turut menyentuh mengenai pusat hiburan di negeri Selangor yang katanya semakin bercambah.
Sambil mendakwa telah berusaha menahan lesen-lesen hiburan dari masuk ke Wilayah Persekutuan, di majlis berbuka itu Tengku Adnan melemparkan tuduhan terhadap rakyat Selangor yang disifatkan sebagai 'ketagih pusat judi'.
"Di Wilayah Persekutuan, saya tanya dengan Datuk Bandar (Kuala Lumpur) lesen-lesen hiburan keluarga dah beku lama dah berhenti kerana kita tahu ini punca tempat perjudian...
"Apa yang berlaku di negeri Selangor?
“Itu yang Sivarasa ketagih, rakyatnya di negeri Selangor pun ketagih pusat judi ibarat cendawan tumbuh di pesisir wilayah persekutuan," katanya dengan nada sinis.
Kehadiran Sivarasa di Masjid An Nur Kampung Melayu, Subang, 24 Mei lalu bagi menyampaikan sumbangan kepada surau dan masjid di kawasan parlimen yang diwakilinya tidak disenangi sesetengah pihak termasuk Adun BN Kota Damansara Halimaton Saadiah Bohan.
Mereka kemudian membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang sekaligus menarik perhatian Pengarahnya Datuk Haris Kasim.
Haris kemudiannya memaklumkan bahawa tindakan Sivarasa mengundang kemurkaaan Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Bagaimanapun Sivarasa menafikan dirinya memberi ceramah politik di masjid berkenaan dan kehadirannya itu disalahertikan sesetengah pihak.
Menurut Sivarasa sebagai tetamu yang dijemput memberi sepatah dua kata, adalah tidak elok jika beliau menolak undangan itu.
Beliau mengakui membuat ucapan ringkas menyampaikan salam Ramadan dan menegaskan keyakinannya terhadap komitmen kerajaan Selangor untuk terus membimbing institusi surau dan masjid di negeri itu.

No comments: