Dalam dua bulan Parti Warisan Sabah daftar 30,000 ahli
Parti Warisan Sabah (Warisan), diterajui bekas menteri Datuk Seri Shafie Apdal, mendaftarkan kira-kira 30,000 ahli dalam tempoh tidak sampai 2 bulan selepas ia didaftarkan.
Setiausaha Agung Warisan, Loretto S Padua Jr memberitahu FMT jumlah ini hanya bilangan permohonan yang diluluskan.
“Kami mempunyai banyak lagi permohonan yang masih dalam proses kelulusan.”
Beliau berkata jelajah bergerak Warisan ke dalam kawasan utama Sabah sangat berjaya dengan jumlah kehadiran orang ramai melebihi jangkaan.
“Setakat ini kami ke Sikuati, Sandakan dan Semporna untuk memberitahu orang ramai tentang parti dan menjelaskan mengapa kita perlu menentang Umno dan Barisan Nasional (BN) di Sabah,” katanya, sambil menambah beberapa cawangan ditubuhkan di seluruh negeri.
“Sambutan yang diterima luar biasa. Di Sandakan kira-kira 8,000 orang menghadiri acara kami di sana dengan ada yang datang sejauh Beaufort. Ia mengambil masa 6 jam perjalanan.”
Loretto berkata mereka yang menghadiri pameran bergerak dan mendaftar sebagai ahli kebanyakannya belia dari pelbagai latar belakang, termasuk Bumiputera Islam, Kadazan Dusun Murut (KDM) dan Cina.
“Mereka memberitahu kami yang mereka mahu Warisan kerana kepimpinan yang kukuh di bawah Shafie dan parti tempatan berjuang untuk mereka.”
“Tidak kira apa latar belakang mereka, kebimbangan mereka adalah sama. Mereka sangat bimbang tentang survival, termasuk kos sara hidup yang meningkat dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).”
Loretto berkata, cabaran utama setakat ini adalah beberapa rakyat Sabah berbelah-bahagi antara banyak parti pembangkang.
Bagaimanapun, beliau berkata tumpuan utama Warisan kini adalah untuk menyatukan rakyat tanpa mengira fahaman politik dan bukan hanya menyatukan parti.
Beliau juga menyatakan walaupun parti itu masih belum menjual barangan rasmi, terdapat ramai penyokong Warisan di Sabah yang mula mencetak baju-T dan pelekat dengan mesej sokongan untuk Warisan dan Shafie.
Parti yang diasaskan Shafie dan Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking bertujuan mendapatkan tawaran lebih baik untuk Sabah, selaras Perjanjian Malaysia 1963.