YESSS...INI BARU SOLIDARITI, MEMBUNUH PUN ADA RUANG MEMBELA DIRI!!




Berbanding Pagoh yang hanya riak-riak kecil dan Jerlun dan senyap sunyi,  reaksi UMNO Bahagian Semporna terhadap penggantungan Shafie Apdal lebih memberi erti tentang solidariti.

Di Pagoh, walaupun UMNO Bahagian itu menolak keputusan MT memecat Muhyiddin Yassin, hanya tiga pemimpin dalam bahagian itu yang meletakkan jawatan sebagai tanda bantahan.

Di Jerlun yang diketuai oleh Mukhriz Mahathir, langsung tidak kedengaran apa-apa bantahan meskipun disedari proses yang diambil dalam mengadili bekas Menteri Besar Kedah itu jauh daripada keadilan yang sewajarnya.
Sebagaimana yang dilaporkan, sebagai bantahan terhadap tindakan MT UMNO menggantung Shafie yang juga Ketua UMNO Bahagian Semporna, Naib Ketua Bahagian, Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Puteri, 19 AJK Bahagian dan 300 Ketua Cawangan mengumumkan keluar parti.

Mereka bertindak demikian kerana merasakan Shafie tidak diberi layanan yang adil dan sewajarnya sebelum dijatuhkan hukuman.

Dengan tindakan itu, UMNO Bahagian Semporna sudah lumpuh dan tidak berfungsi lagi.

Ini baru solidariti dan setiakawan...dan jika lebih ramai yang sedia mengambil tindakan serupa, gugatan terhadap Najib pasti akan lebih berkesan lagi.

Jika lebih ramai yang kenal erti perjuangan dan tidak sayang jawatan, Najib juga lebih mudah diberi pengajaran untuk sedia mendengar perbezaan dan kritikan dan tidak semata-mata gemar menggunakan kuasa yang ada padanya.

Muhyiddin dan Mukhriz dipecat, manakala Shafie digantung keahlian hanyalah kerana ketiga-tiga mereka lantang mengkritik Najib berkaitan isu 1MDB dan skandal kewangan yang melibatkan dirinya.

Tetapi mereka tidak pernah diberi surat tunjuk sebab atau apa-apa peluang membela diri sedangkan dalam proses pengadilan yang sebenar, pesalah membunuh yang jelas perlakuan membunuhnya pun tidak pernah dinafikan hak membela diri mereka.

Lantaran itu, selain pujian atas keberanian mereka di Semporna mengambil tindakan terpuji itu dan diharapkan lebih ramai lagi di seluruh negara yang menyusul kemudian dengan tindakan yang serupa. (SH 28/06/2016).