Ketua Wanita MCA Heng Seai Kie baru-baru ini menyeru agar masyarakat Cina mengundi BN dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 demi meningkatkan dana bantuan bagi sekolah jenis kebangsaan Cina yang telah dikurangkan sejak PRU 13.
Heng berkata demikian dalam satu berita bertajuk ‘Vote Barisan for maximum benefits, Heng tells Chinese community’ (Undilah Barisan untuk memperolehi manfaat maksima, Heng beritahu masyarakat Cina) yang disiarkan sebuah akhbar harian bahasa Inggeris pada 21 Disember lalu.
Gesaan Heng itu berikutan dana yang diperuntukkan untuk sekolah rendah jenis kebangsaan Cina telah dikurangkan dari RM100 juta ke RM50 juta sejak 2013. Jumlah dana yang telah menguncup ini adalah untuk keperluan 1,692 buah sekolah rendah jenis kebangsaan Cina berbanding dengan jumlah dana yang sama (juga RM50 juta) untuk 162 buah sekolah rendah jenis kebangsaan Tamil.
Mengulas isu itu, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Amanah Negara Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin menyifatkan BN telah ketandusan strategi dan sanggup mengugut masyarakat Cina dengan pemotongan bantuan. Katanya, masyarakat Cina tidak akan tunduk dengan ugutan dan hal itu telah terbukti dalam siri PRU lalu.
“Kerajaan BN gagal amalkan prinsip demokrasi jika rakyat yang tidak mengundinya dihukum dengan pengurangan dana,” kata Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering, Perak..
Suara pakatan daily juga mendapat maklum balas masyarakat Cina tidak akan tunduk dengan gesaan pemimpin MCA. Seorang suri rumah, Pauline Tan, 43 tahun berkata, kalau masyarakat Cina ‘diugut’ untuk mengundi BN, mereka akan lebih berdegil untuk mengundi Pakatan. Katanya, taktik BN silap jika menyangka masyarakat Cina takut kepada ugutan.
“Kalau Pakatan menjadi kerajaan pusat, saya amat pasti kos sara hidup akan menurun. Bukankah lebih baik mengundi Pakatan?” ujar seorang pemandu teksi berumur 59 tahun, David Lee, apabila ditanya isu yang sama.