‘Najib tukar persidangan Umno jadi majlis kenali PM’
Bekas Ketua Penerangan Pas Datuk Mahfuz Omar menyindir ucapan Presiden Umno Najib Razak hanya semata-mata mempertahankan diri dan tidak selayaknya diucap oleh ketua parti yang memerintah negara.
Menurut Mahfuz, Najib tidak langsung menyatakan hala tuju Umno dalam suasana ekonomi negara yang tidak memberangsangkan dan gagal menjawab isu yang berbangkit dan berkaitan dirinya seperti Skandal 1MDB, Rasuah RM2.6 bilion dan lain-lain.
“Sebagai pahlawan Bugis, ucapan Najib lebih bertujuan mengaut emosi dan sentimen pimpinan serta perwakilan dengan menyindir dan menyerang Tan Sri Muhyidin Yassin serta Datuk Shafie Apdal selepas mereka berdua diikat kaki, tangan dan ditampal mulut daripada memberi apa-apa ucapan bermakna pada perwakilan. Najib juga cuba membangkitkan kebencian perwakilan kepada Tan Sri Muhyidin, Tun Mahathir dan Datuk Shafie.
“Namun, daripada sudut kepentingan politik pendekatan ini terpaksa dilakukan untuk memastikan hayat politiknya dapat bertahan selepas dia berjaya meyakin Ahli Majlis Tertinggi Umno serta kepimpinan BN agar berdiri bersamanya dan tidak menyertai kem Muhyidin.
“Saya percaya PAU kali ini akan dijadikan Najib sebagai bukti pemimpin dan ahli Umno berdiri teguh di belakangnya.
“Cuma masyarakat umum akan terus mempersoalkan Najib kenapa takut beri peluang kepada Muhyidin dan Shafie jika benar slogan Najib dalam ucapan dasar sebagai pahlawan Bugis “I Am Gentleman”. Maka bagi rakyat Perhimpunan Agong Umno (Pau) ini lebih kepada medan ‘kukus kueh pau’ berbanding persidangan yang berguna buat negara,” katanya dalam satu kenyataan.