Peringatan buat Hadi: Akar umbi PAS tetap bersama Pakatan Rakyat

Peringatan buat Hadi: Akar umbi PAS tetap bersama Pakatan Rakyat
Peringatan buat Hadi: Akar umbi PAS tetap bersama Pakatan Rakyat

Peringatan buat Hadi: Akar umbi PAS tetap bersama Pakatan Rakyat

Tindakan Presiden PAS Hadi Awang terus menerus menyerang DAP tanpa hujung pangkal menjelang Muktamar Pemilihan Jun depan bukan memperkuatkan PAS sebaliknya akan memecah belahkan parti itu.

Hadi dalam program ‘Bicara Harakah’ baru-baru ini berkata beliau patut marah kepada DAP kerana mempertikaikan perlaksanaan Hudud yang diizinkan Tuhan.

“DAP tidak bersetuju dengan hudud, buat kenyataan yang berlawanan dengan Kelantan. Jadi kita ada tanggungjawab kita (menjaga Islam). Kita marah

“Kita marah sebab ia satu tanggungjawab Islam. Kita mesti marah. Tak marah, tiada kemanisan iman. Sebagai orang Islam, kita kena marah,” katanya ketika menjawab soalan hadirin menegur PAS agar berhenti memarahi rakan sekutunya, DAP, pada 19 Mei lalu.


Hadi tidak wajar menyerang DAP kerana perbezaan pendapat mengenai Hudud. Sementelah lagi kebanyakan pemimpin DAP adalah bukan Islam. Begitu juga PKR yang tidak menyokong melaksanakan Hudud pada ketika negara masih gagal menjamin rule of law. Hanya orang biasa yang akan dihukum tetapi penguasa terlepas.

Berlapang dada

Hadi wajar berlapang dada sebagaimana beliau menerima perbezaan pendapat PKR dan DAP pada era Fadzil Noor atau Nik Aziz. Hudud juga bukan keutamaan di Kelantan pasca banjir besar 2014. Malah jika bukan kerana strategi Umno untuk mewujudkan perpecahan dalam PR, Hudud tentunya tidak menjadi keutamaan PAS ketika ini.

Presiden Persatuan Ulama Sedunia, Dr Yusuf Al Qardawi dalam huraiannya berkata Hudud memerlukan beberapa syarat ketat sebelum boleh dilaksanakan. Antaranya termasuklah cukup makanan; cukup peluang pekerjaan; ajarkan rakyat yang jahil (beri ilmu sempurna) serta beri latihan kepada pekerja (tingkat produktiviti dan pendapatan). Suasana seperti itu memang tidak wujud di Kelantan ketika ini.

Oleh itu, tidak salah pihak yang mengkritik dan meminta agar Hudud ditangguhkan dahulu sehingga tiba waktu yang sesuai. Hukum Hudud wajib tetapi waktu perlaksanaan adalah ijtihad.
Berbalah dalam hal ijtihad membuktikan Hadi tidak mahir dalam ilmu siasah (politik). Untuk menjadi ahli politik yang baik ulama muktabar perlu mendapatkan nasihat ahli siasah. Siasah bukan cabang ilmu wajib bagi pengajian agama. Jadi, tidak salah bagi Hadi mendengar kritikan dan memperbaiki strategi parti.

Tindakan menutup fikiran bahawa DAP penghalang Hudud dan Umno menerima hukum itu amat merbahaya. Umno belum boleh dipercayai. Buktinya, langkah Hadi untuk meminda Akta Mahkamah Syariah tidak direstui oleh sebahagian ahli parlimen Umno. Hadi terlalu bergantung kepada PM Najib Razak yang kononnya menyokong PAS. Sedangkan Najib seperti ‘telur di hujung tanduk’ diserang bertubi-tubi oleh Dr Mahathir yang anti Hudud.

Sekiranya Hadi gagal meminda akta tersebut dalam sesi Dewan Rakyat Mei-Jun ini maka imejnya akan terjejas teruk. PAS akan dilihat seolah-olah ‘melukut di tepi gantang’ meminta belas ihsan Umno.

Ternyata penasihat yang mengelilingi Hadi tidak mahir dalam ilmu siasah. Sokongan terhadap PAS selepas ini akan semakin menyusut dengan satu hala perjuangan sahaja, iaitu Hudud.

Sokongan Melayu

Hudud juga tidak boleh digunakan sebagai senjata untuk meningkatkan sokongan terhadap PAS di kawasan Melayu. Percubaan yang dilakukan dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh awal Mei lalu ternyata gagal.

Banyak pihak berpendapat tindakan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Yusri Mat Piah tidak mungkin dilakukan atas kapasiti peribadi tetapi mungkin wujud arahan dari pihak atasan berdasarkan sikap walak pemimpin PAS. Sekiranya benar dakwaan demikian, maka kempen memboikot Dr Wan Azizah yang dimomokkan menolak Hudud tempoh hari bukanlah tindakan spontan tetapi telah dirancang.

Sekiranya Azizah menang majoriti undi kurang 2,000 maka teori Hudud mampu mengurang atau meningkatkan sokongan menjadi kenyataan. Namun terbukti ujikaji itu gagal apabila Dr Wan Azizah memperolehi majoriti kira-kira 8,800 undi walaupun terdapat pemimpin PAS berkempen dan menunjuk perasaan meminta agar pengundi tidak keluar menyokong PKR.

Ujikaji di Permatang Pauh sebaliknya memberi petanda awal bahawa ahli dan penyokong akar umbi PAS tidak akan walak membuta tuli mengikut saranan Presiden, Majlis Syura Ulama atau pemimpin PAS peringkat negeri / kawasan dalam menentukan hala tuju sokongan mereka.

Sekiranya puak Hadi berjaya merebut semua jawatan tinggi PAS dalam Muktamar Pemilihan Jun ini dan mengumumkan tahaluf siyasi PAS berputar 180 darjah kepada Umno maka puak presiden diberi amaran bahawa PAS akan berpecah dua.

Memesong perjuangan

Ahli dan penyokong PAS bukannya bodoh dan ‘gila merapu’ sebagaimana yang difikirkan. Mereka tidak akan menggabungkan diri dengan rejim Najib yang zalim menguat kuasakan GST, menyeleweng wang rakyat dan terlibat dakwaan skandal pembunuhan hanya kerana tawaran pahala yang dibuat pemimpin PAS.

Mereka mampu berfikir siapa malaikat dan siapa syaitan dalam politik Malaysia. Sekiranya puak Hadi berani mengubah hala tuju perjuangan parti maka tidak syak lagi PAS akan kembali ke zaman Asri Muda. PAS boleh masuk BN dan pemimpinnya mendapat jawatan menteri tetapi penyokong mereka akan tinggal kekal bersama PR.

Dalam pilihan raya umum, penyokong PAS akan mengundi calon PR atau Asal Bukan Umno serta sekutunya. Mereka tidak akan memberi undi kepada PAS biar pun mereka ahli PAS. Hakikat di Permatang Pauh jelas menunjukkan kubu kuat PAS di Permatang Pasir yang majoriti 80 % Melayu memberi undi tertinggi kepada Dr Wan Azizah. Walaupun Hadi tidak pernah mengeluarkan arahan agar menarik balik boikot dan mengundi PKR, ahli PAS tetap tidak berganjak dengan pendirian mereka menentang BN.

Membenci PR

Hadi telah jauh terlanjur membenci PR. Satu-satunya cara ialah menggantikan Hadi dengan Ahmad Awang. Namun melihat keadaan pemimpin ulama PAS yang ekstrem dan sukarnya puak Ahmad untuk berkempen menghadapi tindakan agreasif puak Hadi maka peluang untuk Ahmad kelihatan tipis.

Oleh itu, pemimpin PAS wajib bersedia dengan tindakan ahli dan penyokong sebaik sahaja parti itu meningkatkan hubungannya dengan Umno. Hadi akan mendapati ahli dan penyokong yang bertakbir ketika ceramahnya, pada hari mengundi, akan mengalahkan calon PAS dan memenangkan calon PR.

Tidak banyak penganalisis menjangkakan PAS akan kembali ke haluan asal di bawah Hadi. Maka adalah lebih baik ahli dan penyokong memikirkan politik pasca PAS selepas muktamar. Di Turki parti yang berjaya bukanlah pengamal ideologi ortodok. Parti AK pimpinan Erdogan misalnya tidak terikat dengan Hudud tetapi lebih menumpukan Negara Berkebajikan, sebagaimana manifesto PAS menjelang pilihan raya umum ke 13 lalu.

Namun segala-galanya telah terlambat buat PAS. Parti itu mungkin telah ditakdirkan kalah sebelum tiba di kemuncak perjuangan.

No comments: