Parti IKATAN, pimpinan Kadir Sheikh Fadzir dilancar

Parti IKATAN, pimpinan Kadir Sheikh Fadzir dilancar
Parti IKATAN, pimpinan Kadir Sheikh Fadzir dilancar

Parti IKATAN, pimpinan Kadir Sheikh Fadzir dilancar

Bekas Menteri Penerangan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir hari ini ‎melancarkan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), yang didakwanya bukan pro-pembangkang atau kerajaan.

Berwajah baharu dengan lambang berwarna merah-putih, parti itu menggunakan simbol perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra mengangkat tangan semasa melaungkan kemerdekaan, di tengah bulatan berwarna kuning, dan bertemakan “Bersatu Maju Adil Bahagia”.

“Alhamdulillah selepas bertungkus lumus lebih 2 tahun dan dengan bantuan suatu perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, akhirnya Ikatan sudah pun didaftar,” kata Kadir merangkap presiden Ikatan, dalam ucapan perasmian di Hotel Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan, dengan kira-kira 300 hadirin.

Turut hadir beberapa tokoh politik dan pemerhati, termasuk Pengerusi Yayasan Kebajikan Sosial, Tan Sri Robert Phang dan bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times Press, Datuk A ‎Kadir Jasin‎.‎

“Kita bukan pro-Barisan Nasional dan kita bukan pro-pembangkang, tetapi kita pro roh pemimpin mulia yang sudah, pro-rakyat dan pro-generasi akan datang.

“Kita juga bukan parti untuk pilihan raya akan datang,” kata Kadir.
Bekas ahli Majlis Tertinggi Umno itu menubuhkan Ikatan pada Jun 2012, tetapi menunggu lebih 2 tahun mendapatkan kelulusan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Pada Februari 2013, Kadir mengheret RoS ke ‎Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan perintah mengarahkannya meluluskan pendaftaran parti berbilang kaum itu.

Menekankan isu rasuah dan salah laku pemimpin kerajaan sebagai perjuangan utama Ikatan, Abdul Kadir bagaimanapun enggan mengulas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang kebelakangan ini mengkritik isu pentadbiran negara, terutamanya skandal 1MDB.

“Kita parti baru nak lancar. Mengenai isu itu saya ingat kita tunggu segala siasatan yang dilakukan.

“Jika perdana menteri salah, maka salahlah dan dia akan dihukum. Kalau dia tidak salah apa kita nak buat,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Ikatan.

Beliau juga menggesa agar siasatan 1MDB dipercepatkan dan memberi tempoh sebulan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) menyiapkan hasil siasatan kerana ia banyak merugikan negara.

Beliau juga mengambil jalan tengah dan enggan mengkritik kepimpinan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak secara terbuka.‎

“Saya tidak mahu komen peribadi. Kita tidak akan serang peribadi dalam memperjuangkan sesuatu isu tetapi kalau ada bukti salah, salahlah. Tak perlu jadikannya isu peribadi,” katanya.

Katanya, Ikatan bukan sebuah parti pilihan raya akan datang, dan hanya akan membuat keputusan sama ada mahu bertanding bila sampai waktunya.

Mengenai hala tuju, katanya parti itu akan lebih banyak mengulas mengenai isu semasa dan bebas menyokong mana-mana pihak yang dirasakannya benar.

Ikatan juga katanya akan dilancarkan secara besar-besaran dan memperkenalkan pemimpin parti peringkat negeri semasa Hari Malaysia pada 16 September ini di Putrajaya.


Katanya, pemimpin Ikatan setakat ini adalah muka baru dan masih berusaha menarik ahli politik lain serta merekrut ahli baru masuk mendaftar.

“Ramai (pemimpin) nak sokong tetapi takut tidak dapat kontrak dan dikenakan tindakan Akta Hasutan jadi saya lebih rela dengan ramai muka baru,” katanya.‎

Selain Kadir, pemimpin tertinggi parti itu dianggotai Naib Presiden Tunku Muinuddin Putra Tunku Nerang Putra yang juga cucu kepada Tunku Abdul Rahman.

Seorang lagi Naib Presiden Datuk Tony Looi, dan Ketua Penerangan Ikatan Tunku Prof Dr Fauzi Tunku Abdul Malek yang juga cucu saudara Tunku Abdul Rahman.

Abdul Kadir, menjadi ahli Umno selama 56 tahun mengisytiharkan keluar parti‎ pada Mac 2012 selepas mengkritik pentadbiran kerajaan dan parti yang semakin lari daripada perjuangan asal.