Kemelut Harakah: Status Lutfi diketahui 17 Februari

oleh : Amirulmukminin
Mesyuarat pemimpin PAS bersama staf Harakah berjalan dalam suasana kurang menyenangkan manakala nasib Ketua Pengarang Ahmad Lutfi hanya akan diketahui pada 17 Februari ini, kata satu sumber.

Menutut sumber itu, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi Harakah Datuk Mustafa Ali di Tingkat 5, Pejabat Agung PAS tersebut tidak mempunyai agenda yang jelas kecuali menyindir kepimpinan Lutfi sebagai penyebab jualan Harakah merosot.

Jualan lidah rasmi PAS itu yang pernah mencecah 150,000 naskhah ketika musim pilihan raya umum 2013 lalu, kini diedar kurang 50,000 pada setiap keluaran. Atas alasan itu kononnya, pihak lembaga pengarah Harakah mahu mengambil tindakan terhadap Lutfi yang kurang upaya memimpin Harakah kerana sering mengambil cuti sakit.

Bagaimanapun, menurut sumber tersebut, mesyuarat berkenaan tidak pula membawakan bukti rasmi kemerosotan prestasi berupa graf jualan dan sebagainya untuk diteliti.

Ketua Penerangan PAS, Datuk  Mahfuz Omar  pula mencadangkan agar Harakah mengembalikan prestasi jualannya seperti sebelum ini dan PAS memberi tempoh masa selama enam bulan.

Beberapa wartawan Harakah, kata sumber itu lagi, tidak berpuas hati dengan hasil mesyuarat yang mengkritik perjalanan editorial, terutama pemilihan berita. Pemimpin PAS mengkritik kononnya Harakah agak menonjolkan berita berkaitan Anwar berbanding pemimpin PAS. Harakah juga didakwa telah memainkan isu syiah serta dilihat melaga-lagakan kelompok ulama dan profesional dalam parti.

Wartawan menganggap dakwaan tesebut lebih kepada persepsi pemimpin utama PAS kerana tiada bukti jelas perkara tersebut dilakukan oleh pihak editorial.

Kata sumber itu lagi, adalah sukar untuk menjual Harakah sekiranya akhbar itu menyiarkan berita yang tiada kaitan dengan isu semasa dan relevan untuk pembaca.

Wartawan dan editor Harakah juga, menurut beliau, tiada niat untuk menonjolkan Anwar lebih deripada pemimpin PAS. Manakala pemimpin PAS yang menuduh tidak pula membawakan keratan akhbar yang dimaksudkan atau bukti nombor siri keluaran serta muka surat.

Kesimpulannya, mesyuarat tersebut gagal menyelesaikan masalah dalaman Harakah yang membelenggu lidah rasmi PAS itu sejak enam bulan kebelakangan ini.


No comments: