Hutang negara paras kritikal: Malaysia berdepan krisis ekonomi?

(Oleh Redzuan Shamsudin)
KUALA LUMPUR 4 SEPTEMBER: Hutang dalam dan luar negara yang mencecah RM1,200 bilion mengundang perasaan cemas para penganalisis ekonomi. Mereka membayangkan ekonomi Malaysia akan berdepan krisis dalam sedikit masa lagi sekiranya langkah-langkah perlu tidak diambil mengurangkan jumlah hutang.
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli tidak menolak krisis ekonomi seburuk krisis matawang pada 1997 berikutan penyusutan nilai ringgit berbanding dollar Amerika. Matawang negara itu jatuh melebihi 7.0 peratus tahun ini, kepada RM3.30 bagi setiap AS$1.
Rafizi“(Masalahnya) dalam keadaan hutang mencecah 53 peratus daripada KDNK, kerajaan masih berbelanja mewah dan membazirkan wang rakyat.
“Apabila hutang kita sampai tahap maksimum, kalau ada sedikit kekacauan kewangan di peringkat antarabangsa negara akan menghadapi masalah. Sebab itu kita tidak boleh menolak krisis ekonomi sedang menghantui Malaysia.

“Apa yang berlaku (analogi hutang) seperti berbelanja menggunakan kad kredit. Apabila kita guna hingga had maksimum, tiba-tiba dalam bulan itu kereta kemalangan, habislah. Pasti ansuran kereta, rumah dan sebagainya tak boleh dibayar.

“Begitu juga negara. Kalau tiba-tiba pelantar minyak bermasalah, harga komoditi menjunam atau negeri Kedah misalnya tenggelam banjir, habislah,” ujar bekas akauntan Petronas itu kepada Keadilan Daily.
Rafizi juga kecewa dengan kegagalan kerajaan BN dalam mengurangkan hutang sedia ada sehingga negara kerugian RM10 bilion setahun semata-mata membayar faedah pinjaman kepada agensi kewangan asing dan Bank Dunia.

“Hutang luar negara mencecah RM70 hingga RM80 bilion dan dari jumlah itu faedah pinjaman yang perlu dibayar lebih kurang RM10 bilion. Jumlah ini agak besar,” katanya.
Sebelum ini, Bank Negara telah menyemak semula unjuran pertumbuhan bagi 2013 kepada antara 4.5 dan 5.0 peratus daripada antara 5.0 peratus dan 6.0 peratus.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=55404