PAS: Insentif diumumkan Najib hanyalah skim lama


Bahasa

PAS: Insentif diumumkan Najib hanyalah skim lama

Oleh Mohd Farhan Darwis

March 13, 2013
Husam Musa mencadangkan kepada Putrajaya agar perkhidmatan tentera dan polis dikira sebagai perkhidmatan kritikal dan mendapat elaun perkhidmatan kritikal seperti doktor dan sebagainya. - Gambaer fail  KUALA LUMPUR, 13 Mac — Pengumuman Datuk Seri Najib Razak mengenai penambahbaikan skim gaji kakitangan awam dan pasukan keselamatan termasuk angkatan tentera dan polis jelas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa adalah skim yang telah diguna pakai selama ini, dan tiada insentif baru diperolehi pasukan keselamatan negara tersebut.

Husam menegaskan, perdana menteri sekadar mengumumkan sesuatu yang telah sedia digunapakai di dalam perkhidmatan polis dan tentera  sejak 2010.

"Pada hakikatnya, tiada apa-apa insentif baru yang diperolehi oleh tentera dan polis," kata Ahli Dewan Undangan Negeri Salor itu dalam satu kenyataan awal hari ini.
Exco kerajaan negeri Kelantan itu turut menegaskan, dengan mengulangi pengumuman lama, Najib umpama mempermainkan pasukan keselamatan tersebut.

"Menyanyikan lagu lama untuk tentera dan polis jelas mempermainkan anggota tulang belakang keamanan negara ... ia juga menunjukkan terputusnya perdana menteri dengan isu dan masalah yang dihadapi khususnya oleh anggota tentera," katanya dalam kenyataan tersebut.
Jelasnya lagi, pada 2010, perkhidmatan polis telah mensyaratkan ijazah sarjana muda bagi kemasukan untuk pangkat Inspektor yang mana sebelum itu hanyalah sekdar keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Angkatan tentera juga jelasnya telah mengubah syarat kemasukan bagi pangkat Leftenan Muda dengan meletakkan iajazah sarjana muda sebagai syarat kemasukan pada Januari tahun ini.
"Dengan perubahan ini secara automatiknya syatat kemasukan bagi Leftenan Muda dan Inspektor ialah gred gaji 41, syarat kemasukan lazim bagi pemegang ijazah untuk penjawat awam am," katanya, dan menambah, syarat itu sebenarnya turut diguna pakai bagi pangkat-pangkat tertinggi kemudian.

Justeru, beliau turut mencadangkan kepada Putrajaya agar perkhidmatan tentera dan polis dikira sebagai perkhidmatan kritikal dan mendapat elaun perkhidmatan kritikal seperti doktor dan sebagainya kerana mereka mendedahkan diri kepada bahaya sepanjang masa bertugas.
Malah, Husam juga mencadangkan skim perkhidmatan graduan tentera dan polis disamakan dengan perkhidmatan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) bagi menarik lebih ramai golongan muda menyertai pasukan keselamatan tersebut.

"Sementara itu, bagi pegawai-pegawai lain-lain pangkat (Leftenan Muda dan Inspektor ke bawah), mereka juga sepatutnya mendapat kelayakan elaun dan skim perumahan yang sama tarafnya dengan pegawai2 pelaksana di dalam perkhidmatan awam," katanya lagi.

"Antara perubahan yang ditunggu-tunggu oleh anggota tentera antara lain penetapan band gaji yang sama iaitu band 5."

Tegasnya lagi, banyak lagi cadangan penambahbaikan skim perkhidmatan tentera yang ditunggu oleh anggota pasukan keselamatan, namun langsung tidak disentuh Najib sewaktu mengumumkan perkara itu Isnin lalu di Putrajaya.

No comments: