Kit Siang impikan PR menang tidak kurang 125 kerusi pada PRU-13
1 March 2013
Katanya, jika tsunami politik di Semenanjung pada 2008 datangnya dari Utara dengan PR memenangi di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor dan tsunami PRU-13 dijangka datang dari Selatan dengan mencipta kejayaan di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Terengganu.
Sehubungan itu, menurutnya, PR juga menetapkan matlamat pada PRU-14 untuk memenangi lebih banyak kerusi berbanding sembilan kerusi Parlimen di Johor, seiring dengan kejayaan di Sabah dan Sarawak, dengan memperolehi lebih daripada 19 kerusi Dewan Undangan Negeri Johor.
“Walaupun UMNO/BN menjangka memiliki kelebihan berbanding PR, PRU-13 pasti menjadi medan persaingan sengit dan kempen menjadi penentu terakhir perikatan mana akan memenangi saingan untuk mentadbir Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.
“UMNO/BN jelas tidak yakin akan memenangi PRU-13 sebab itu Datuk Seri Najib Razak berdolak-dalik hsepanjang dua tahun untuk membubarkan Parlimen kerana bimbang beliau akan tercatat dalam sejarah sebagai Perdana Menteri UMNO/BN terakhir memenuhi ramalan politik RAHMAN.
“Awal bulan lalu, Najib sudah sedia membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU-13 apabila meluluskan “senjata rahsia” untuk PRU-13, dengan membelanjakan RM3.5 juta bagi menjemput bintang pop Korea, Psy, ke Pulau Pinang mengadakan persembahan pada Rumah Terbuka Tahun Baru Cina BN supaya raya memihak kepada beliau.
“Bagaimanapun, Najib hilang yakin apabila inisiatif Psy tenggelam di dalam lautan “No, No, No” bukan saja di Pulau Pinang tetapi juga bergema di seluruh negara sejak bencana politik dan perhubungan awam itu bermula ketika kemunculan Psy dan Gangnam Style pada 11 Februari itu,” katanya dalam kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 42 Hari ke PRU-13, di sini, semalam.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, The Asian Strategy and Leadership Institute (ASLI) meramalkan BN akan memenangi antara 123 dan 135 kerusi (iaitu majoriti 24-48 kerusi) selain tiga lagi kemungkinan yakni status quo sekarang kekal iaitu 140 kerusi untuk BN berbanding 82 kerusi untuk PR berikutan “tsunami politik” 8 Mac 2008.
Selain kedua majoriti BN merosot iaitu mendapat kurang daripada 58 kerusi selepas “tsunami politik” 308; dan BN memperoleh semula majoriti dua pertiga dengan memenangi sekurang-kurangnya 148 kerusi Parlimen atau minimum majoriti 74 kerusi.
Bagaimanapun, katanya, ada dua lagi kemungkinan, meramalkan PR menang dengan majoriti tipis dan majoriti selesa seperti yang dinyatakan
Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman ketika bercakap kepada pertubuhan Cina Kulai awal bulan lalu yang menjangka PR akan menang dengan majoriti antara 5% hingga 10% kerusi Parlimen.
“Ini bermakna PR akan memenangi 117 kerusi manakala BN dengan 105 kerusi iaitu majoriti hanya 12 kerusi (iaitu 5.5% majoriti) atau 122 kerusi iaitu majoriti 22 kerusi (10%).
“Anggaran Ghani itu hanpir sama dengan anggaran bekas Ketua Ekonomi Bank Islam, Azrul Azwar Ahmad Tajudin, di Singapore Regional Outlook Forum bulan lalu bahawa BN mungkin menang antara 97 dan 107 daripada 222 kerusi Parlimen manakala PR dengan majoriti antara lapan dan 28 kerusi,” katanya..
Tinjauan terakhir Pusat Kajian Demokrasi Dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) yang dilakukan antara 26 Disember dan 11 Januari mengukuhkan lagi ramalan bahawa keputusan PRU-13 bahawa sokongan kepada BN berkurangan daripada 25% pada Disember 2011 kepada 5% pada Januari 2013.
Responden percaya PR boleh mengambil alih Putrajaya pada PRU-13 apabila sokongannya semakin meningkat daripada 18% pada Disember 2011 kepada 21% pada April 2012, 30% pada September 2012 dan 37% pada Januari 2013.
Sebaliknya, responden yang percaya BN boleh memenangi PRU-13 sudah berubah daripada 43% pada Disember 2011 kepada 49% pada April 2012, 44% pada September 2012 dan 42% pada Januari 2013.
Responden yang tidak pasti atau tidak dapat memutuskan siapa boleh memenangi PRU-13 jatuh daripada 39% pada Disember 2011 kepada 30 peratus pada April 2012, 26% pada September 2012 dan 21% pada Januari 2013.
Dalam senario Umcedel, apa yang diperlukan PR untuk mengalahkan BN dalam perlumbaan ke Putrajaya pada PRU-13 adalah dengan memikat lebih daripada lima peratus responden yang tidak pasti dan tidak dapat memutuskan iaitu terdiri daripada 21% responden pada Januari 2013.
Tinjauan antara 23 Januari dan 6 Februari, sebelum Tahun Baru Cina dan bencana “Psy” dan juga perkembangan memalukan Perdana Menteri (Suruhanjaya Siasatan Diraja di Sabah, kritikan penyiasat persendirian P. Balasubramaniam, peniaga permaidani Deepak Jaikishan dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang berterusan), menyebabkan populariti Najib jatuh dua peratus.
Menurut Merdeka Centre, penurunan ini disebabkan kejatuhan empat mata rasa puas hati terhadap Najib di kalangan pengundi Melayu, turun daripada 77 peratus sebulan lalu dan rasa puas hati orang Cina berada pada status quo 34 peratus sementara sokongan India jatuh satu mata kepada 75 peratus.
“Pada 8 Mac 2013 akan memberi ujian terakhir sama ada Najib begitu tidak yakin sehingga terpaksa mengharungi penghinaan menjadi satu-satunya Perdana Menteri di Malaysia yang mengheret penggal Parlimen melepasi lima tahun penggal kebiasaan dan bergantung kepada peruntukan yang memberinya “ruang bernafas” 50 hari lagi kerana mengikut perlembagaan, penggal lima tahun Parlimen mula dikira daripada mesyuarat pertamanya (iaitu 28 April 2008) dan bukannya tarikh pilihan raya sebelumnya pada 8 Mac 2008,” katanya.-Roketkini.com