Kerajaan Malaysia
dijangka berdepan dengan saat-saat gentingnya untuk menyelesaikan hutang
sebanyak RM101.65 bilion dalam tempoh tiga tahun, iaitu dari tahun 2010
hingga 2012, apabila Sekuriti kerajaan Malaysia (bon kerajaan) dan
Sukuk yang berjumlah ratusan bilion ringgit ini sampai tarikh
tebusannya.
Nilai
yang mencakupi 30% daripada jumlah hutang awam dalam negeri ini tidak
termasuk hutang negeri asing yang bernilai RM6.2 bilion dan pinjaman
daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berjumlah RM7.2
bilion, juga perlu diselesaikan dalam tempoh tersebut.
Di samping itu, menurut perangkaan dalam Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2011,
KWSP menjadi "khazanah" terbesar untuk kerajaan persekutuan, apabila
membekalkan pinjaman sejumlah RM56.59 bilion kepada kerajaan persekutuan
dan GLC (Syarikat berkaitan kerajaan). Badan-badan ini masih berhutang
RM48.36 bilion daripada KWSP sehingga hari ini.
Seandainya
jumlah ini ditambah pula dengan RM93.11 bilion yang dilaburkan oleh
KWSP ke atas bon kerajaan, maka jumlah dua angka ini mencakupi 40%
daripada jumlah dana yang ada dalam KWSP. Dengan kata lain, KWSP
menggunakan 40% wang pencen yang disimpan oleh pekerja Malaysia untuk
menampung perbelanjaaan kerajaan persekutuan atau GLC.
Hutang RM101.6 bilion perlu dijelaskan
Perhitungan kasar MerdekaReview
mendapati hutang sekuriti kerajaan Malaysia dan Sukuk yang sampai ke
tarikh tebusannya antara tahun 2010 hingga 2012 berjumlah RM101.65000
bilion, iaitu 30% daripada jumlah hutang awam dalam negeri. Jumlah
hutang dalam negeri telah mencecah paras RM348.6 bilion pada hujung
tahun 2009.
Menurut Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2011,
hutang Bil Perbendaharaan yang bernilai RM10 bilion akan tiba tarikh
tebusannya pada tahun ini, namun kerajaan persekutuan masih belum
menjelaskan RM4.32 bilion daripadanya. Selain itu, hutang sukuk yang
bernilai RM5.0 bilion yang harus dijelaskan pada tahun 2012, masih
dihutang RM4.9 sehingga kini.
Sementara
itu, Sekuriti Kerajaan Malaysia bernilai RM92.4 bilion yang belum
dijelaskan akan sampai ke tarikh tebusannya, mulai tahun ini hinggalah
tahun 2012. Apa yang menarik, bon yang bakal sampai tarikh tebusan ini
diterbit oleh kerajaan Malaysia antara tahun 2001 hingga 2009, dan
melibatkan angka yang besar.
Akibat daripada pembaziran 10 tahun lalu
Ia
sebenarnya mencerminkan pembaziran dan kekurangan disiplin ketika
kerajaan mengendalikan kewangan negara sejak kemelut ekonomi pada tahun
1997. Sepanjang 10 tahun yang lalu, kerajaan persekutuan tidak
bersungguh-sungguh untuk mengurangkan defisit dan hutang yang dipikul,
menjurus kepada akibat hari ini, di mana kita berada pada saat genting
untuk membayar hutang dalam tiga tahun ini.
Kerajaan
Malaysia sebenarnya berpeluang untuk mencapai keseimbangan
belanjawannya dalam tempoh 10 tahun yang lalu, namun kerajaan masih
memilih untuk mengekalkan defisit pada paras 4.3% secara puratanya.
Pada masa yang sama, hutang kerajaan persekutuan melonjak secara
mendadak selepas kemelut ekonomi Asia, dari RM90 bilion (atau 32%
berbanding KDNK) pada tahun 1997, kepada RM306.4 bilion (atau 41.5%
berbanding KDNK) pada tahun 2008.
Pada
ketika angka defisit dan jumlah hutang semakin melambung, kerajaan
mengemukakan pakej ransangan ekonominya dengan RM67.0 bilion. Defisit
kewangan terus melonjak dari 4.8% pada tahun 2008 kepada 7.4% pada tahun
2009. Pada masa yang sama, hutang kerajaan persekutuan berkembang dari
RM306.4 bilion (atau 41.5% berbanding KDNK) pada tahun 2008, kepada
RM362.5 bilion (atau 52.4% berbanding KDNK) pada tahun 2009.
Menurut
seorang juruaudit, kerajaan Malaysia agak bermasalah dalam disiplinnya
ketika mengendalikan kewangan. Pada hakikatnya, kerajaan Malaysia
berupaya untuk menyeimbangkan belanjawannya pada ketika harga pasaran
antarabangsa minyak melonjak. Namun, kerajaan persekutuan telah
terlepas peluang keemasan ini.
Ekonomi
Malaysia telah menurun, jikalau dibandingkan dengan beberapa tahun yang
lalu. Kini, kerajaan bukan sahaja berdepan dengan masalah kekurangan
pendapatan, malah perlu mengekalkan perbelanjaan yang besar untuk
merangsang ekonomi. Jadi, adalah sukar untuk kerajaan mencapai matlamat
menyeimbangkan belanjawan.
*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut, diterjemah dan disunting dari teks asal.