Pulang Wang NFC, Nazri Aziz Persenda Undang-Undang – Mahfuz

Retorik Menteri Undang-undang Nazri Aziz meminta agar Ketua Wanita Umno Shahrizat Jalil yang keluarganya terlibat dalam skandal NFC memulangkan wang pinjaman RM250 juta agar tidak perlu melepaskan jawatannya sebagai Menteri Pembangunan Hal Ehwal Wanita dan Keluarga.

mahfuz membidas nazri


Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar membidas kenyataan Nazri yang seolah-olah mempersendakan undang-undang negara. Katanya, skandal NFC mempunyai unsur pecah amanah yang jelas, oleh itu pelakunya hendaklah di hadapkan ke mahkamah dan dibicarakan.

“Kenyataan Nazri Aziz dangkal apabila menganggap mudah isu penyelewengan dan unsur pecah amanah dalam NFC. Tidak mungkin dengan hanya membayar balik RM250 juta semuanya selesai

“Kes NFC mesti dibawa ke mahkamah dan kita meminta satu Suruhajaya Di Raja dibentuk untuk menyiasat kes ini secara keseluruhan,” katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, Kuala Lumpur.

Menurutnya, Suruhanjaya Diraja penting kerana NFC bukan sahaja melibatkan Shahrizat dan keluarga beliau malah beberapa menteri kabinet yang lain. Mahfuz juga meminta agar Jawatankuasa Kira-kira Parlimen (PAC) membentangkan minit mesyuarat bertarikh 23 November 2011 kepada umum.

“Minit mesyuarat itu wajar diberi kepada ahli parlimen dalam kadar segera sebelum sessi parlimen bulan Mac bermula. Sekiranya diberi ahli parlimen boleh mendedahkan minit tersebut kepada umum tanpa sekatan.

“Minit itu amat penting kerana mengandungi pengakuan beberapa pegawai dari beberapa kementerian dan NFC sendiri yang dipanggil memberi keterangan kepada PAC. Ia boleh diteliti untuk mengetahui punca sebenar berlakunya penyelewengan dalam projek berkenaan,” tambahnya.

Kondo yang dibeli di Singapura


Beliau turut mendedahkan beberapa butiran maklumat dari dokumen minit yang dibocorkan kepadanya mengandungi keterangan beberapa orang pegawai berkenaan jawatankuasa-jawatankuasa yang ditubuhkan untuk memantau perjalanan NFC. Bagaimanapun pihak menteri yang meluluskan pinjaman didakwa tidak berpandukan kepada laporan berkenaan dalam meneruskan pemberian pinjaman.

“Ada beberapa jawatankuasa yang ditubuhkan untuk memantau progres NFC. Antaranya jawatankuasa di bawah Kementerian Pertanian, kementerian Kewangan dan Kerajaan Negeri Sembilan seperti MOA, MOF dan sebagainya. MOA dipengerusikan oleh Menteri Pertanian ketika itu Muhyiddin Yasin.

“Sekiranya jawatankuasa ini benar-benar berperanan maka tentu mereka akan mempersoalkan tujuan NFC menggunakan wang pinjaman yang diberi untuk pembelian kondominium, kereta mewah dan lain-lain,” kata Mahfuz.

Selain itu, Mahfuz mendakwa berkemungkinan projek NFC juga mempunyai kaitan dengan PM yang lalu Pak Lah serta ahli keluarga mereka. Katanya, pinjaman tersebut juga diberikan tanpa jaminan si peminjam akan bertanggungjawab membayar balik pinjaman mengikut jadual.

“Kerajaan tidak kenakan syarat kepada pihak yang mengambil pinjaman. Itulah akibatnya pinjaman diberi tetapi dokumen perjanjian tidak lagi ditandatangani. Akhirnya pinjaman lebih memihak kepada pihak yang meminjam

“Dalam kes NFC, pengendali syarikat hanya membawa masuk lembu sahaja. Sedangkan kerajaan yang menyediakan ladang dan kemudahan menternak. Oleh itu, rakyat perlu tahu sejauh mana wang mereka dibazirkan oleh keluarga Shahrizat,” katanya.

No comments: