Balai Polis Kerinchi' Layak Mengundi Di Lembah Pantai.

LEMBAH PANTAI, 6 DIS : Ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar hari ini mendedahkan kepada media pelbagai percanggahan maklumat pengundi pos di kawasannya.

Menurut izzah, sekurang-kurangnya 97 percanggahan dapat dikesan pihaknya termasuk seorang pengundi yang didaftar diatas nama "Balai Polis Kerinchi".

Nama yang dikesan ini merupakan pengundi pos baru yang diwartakan ke dalam senarai pemilih bagi suku tahun ketiga 2011.

Merujuk kepada pangkalan data 'on-line' Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Izzah mendedahkan kad pengenalan bernombor RF161872, secara rasmi di daftarkan atas nama Balai Polis Kerinchi.

"Saya tekankan ini bukan sahaja satu nama yang mengelirukan, malah ada pengundi dari kalangan anggota polis yang boleh mengundi di dua kawasan yang berlainan.

"Ini baru rekod pengundi pos, belum lagi kita semak rekod pengundi biasa dan perkara ini berlaku ketika kita bercakap soal pilihanraya yang telus, adil dan bersih," jelas Izzah.

Nurul Izzah berkata demikian dalam satu sidang media di Pejabat Pusat Khidmat Parlimen di Lembah Pantai di sini hari ini.

Baharu-baharu ini, bercakap di lobi parlimen, Izzah menzahirkan kebimbangannya mengenai kenaikan mendadak jumlah pengundi pos di kawasannya seperti yang tercatat pada daftar pemilih yang terbaru yang dikeluarkan pada 2 Nov lalu.

Nurul Izzah mendakwa bilangan pengundi pos diLembah Pantai naik mendadak 1,400 % dalam tempoh dua bulan sedangkan rekod pada 26 September lalu hanya 149 orang kemudiannya meningkat kepada 2,180 orang pada 2 November.

Lebih buruk lagi semakan yang dilakukan di Suruhanjaya Pilihan Raya mendedahkan bahawa 457 pengundi pos ini adalah dari Kampung Bohol di Bukit Jalil yang berada di luar kawasan Lembah Pantai.

"Terus terang kami terpaksa melakukan sendiri, kerana tiada jaminan daripada SPR untuk nama-nama ini diperbaiki.

"Persoalannya, bagaimana kita boleh pastikan bahawa SPR telah membersihkan nama-nama ini kerana sehingga kini pelbagai percanggahan maklumat dan ini adalah mustahil bagi SPR untuk membersihkannya," tegas Nurul Izzah.