Anak lancar Gerakan Selamatkan Felda esok, antara langkah halang penyenaraian
KUALA LUMPUR, 7 Dis — Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menggerakkan gelombang baru menyentuh isu-isu berkaitan dengan Felda dengan melancarkan program Gerakan Selamatkan Felda Peringkat Kebangsaan esok.
Majlis pelancaran akan diadakan di pekarangan Masjid Lama Bandar Jengka, Pahang.
Pengerusi Anak Mazlan Aliman (gambar) berkata, program itu diadakan untuk memberi penerangan kepada warga Felda mengenai penyenaraian Felda Global Ventures Holdings di Bursa Malaysia, dijangka pertengahan tahun depan.
Penyenaraian itu akan menyebabkan 360,000 hektar tanah dicagar, langkah dibantah para peneroka.
Dipetik Harakahdaily, Mazlan berkata program tersebut akan diteruskan di Kolej Universiti Islam Zulkifli Ahmad, Taman Melewar dekat sini Sabtu ini dan Segamat hari keesokan serta ke negeri-negeri lain kemudian.
Selain itu, Mazlan turut memberitahu, pada 20 Disember pula, Anak akan mengetuai kira-kira 30 peneroka Felda di seluruh negara untuk menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendesak jawatan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Felda dan Datuk Sabri Ahmad selaku Pengarah Urusan Felda Global Ventures Holdings dilucutkan.
Ia rentetan daripada kempen mansuhkan Isa yang mengumpul tandatangan bantahan peneroka Felda terhadap Isa yang dilancarkan 18 Oktober lalu.
“Dalam memorandum kepada Datuk Seri Najib Razak, kita mendesak Isa dan Sabri digugurkan daripada jawatan masing-masing serta mendesak kerajaan membatalkan cadangan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings,” kata Mazlan yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.
Tegas Mazlan, sekiranya tiada sebarang tindakan daripada Najib, Anak akan mendapatkan perintah mahkamah agar melarang Felda melakukan penyenaraian.
Mazlan berkata langkah itu diambil sebelum mesyuarat agung luar biasa Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang dijangka 5 Januari depan.
“Kita telah berbincang dengan pihak peguam mengenai tindakan mahkamah ini dan jika tak ada respon dariapda Perdana Menteri, kita akan abil tindakan mahkamahlah kerana penyenaraian ini melibatkan cagaran aset peneroka,” katanya.