ANAK: Kerana kepentingan politik buat FELDA cagar tanah 360 ribu hekta

GOMBAK 28 SEPT: Lembaga Pengarah Felda didakwa membuat keputusan mencagarkan keseluruhan tanah Felda Plantation seluas 360 ribu hektar tanpa kehadiran pengarah besarnya, Datuk Dzulkifli Abdul Wahab.

Cagaran tersebut dibuat kepada Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) selama 60 tahun tanpa dimaklumkan kepada Zulkifli yang ketika itu pergi menunaikan umrah pada 25 Ogos lalu.

Malah difahamkan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad turut dilantik menerajui Koperasi Peneroka Felda (KPF) atas alasan penstrukturan semula FGVH di mana jawatan tersebut kini dipegang Zulkifli sendiri.

Bercakap pada sidang media sebentar tadi, Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Mazlan Aliman yakin keputusan tersebut dipengaruhi oleh pemimpin politik berkepentingan.

Katanya Timbalan Menteri Di Pejabat Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan sebelum berdolak-dalik atas cadangan yang dikemukakan Pakatan Rakyat untuk memansuhkan Felda Plantation dan diberikan tanah tersebut kepada generasi kedua dan ketiga.

Jelas beliau setelah perkara ini terbongkar maka wujud tanggapan bahawa Felda mempunyai agenda tersendiri dan berselindung di sebalik alasan untuk menolak cadangan tersebut.

"Keputusan ini difahamkan ditentang oleh Datuk Zulkifli sendiri kerana Isa Samad direstui Ahmad Maslan untuk campur tangan.

"Felda akan sibuk dengan pelaburan dan tidak akan memberi tumpuan kepada peneroka," kata Mazlan. Mazlan turut mempersoalkan sekiranya perlantikan Isa melalui jalan "belakang" membolehkan ekuiti KPF bernilai RM399 juta iaitu 51 peratus dalam Felda Holdings akan dibawa masuk ke dalam Felda Global Ventures.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mendedahkan di parlimen bersabit kepincangan pelaburan melibatkan Felda Global Ventures di mana kerugian terkumpul dari tahun 1997 hingga 2010 dicatatkan hampir RM500 juta.

Pelaburan dibuat menerusi Felda Iffco Sdn Bhd, Twin Rivers Techologies US, TRT Etgo Canada, Felda GLobal Ventures Middle East dan Felda GLobal Ventures Arabia.

Sehubungan dengan itu beliau menuntut penjelasan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tentang keputusan yang akan memberi implikasi buruk terhadap liabiliti terbesar negara termasuk nasib peneroka.

"Kebimbangan saya adalah apabila pelaburan besar di luar negara boleh lenyap seperti apa yang berlaku kepada Bank Bumiputera, Perwaja Steel dan PKFZ.

"Ramai pihak (peneroka) mendesak supaya Perdana Menteri buat kenyataan terbuka... Maklumbalas yang kita perolehi adalah negatif daripada kakitangan kumpulan Felda," tambahnya lagi.

No comments: