Anwar : Allahyarham Syed Ahmad Jamal Seniman Yang Memahami Rakyat

KUALA LUMPUR 1 OGOS : Sekembalinya Allahyarham Datuk Syed Ahmad Jamal ke rahmatullah semalam meninggalkan kesan yang cukup mendalam kepada rakyat Malaysia.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perutusan khasnya berkata, beliau menyifatkan seniman Negara, Syed Ahmad Jamal sebagai seniman yang dekat dengan rakyat.

“Tatkala meletusnya Reformasi 98, Syed Ahmad Jamal tidak tinggal diam, Allahyarham sedar peranannya sebagai seorang seniman adalah memahami dan seterusnya bersama dengan denyut nadi rakyat yang menuntut keadilan,” kata Anwar.

Syed Ahmad Syed Jamal, 82, meninggal dunia malam semalam di kediamannya di Gombak, Kuala Lumpur.

Beliau adalah pelukis logo ADIL atau Pergerakan Keadilan Sosial, gerakan badan bukan kerajaan yang ditubuhkan sebagai respons tindakan-tindakan yang dikenakan ke atas Anwar yang difitnah pada tahun 1998.

Menurut Anwar, beliau sendiri masih menyimpan lukisan Allahyarham di ruang tamu rumahnya dan berasa bangga mengenali seniman seperti Allahyarham.

“Saya akui tersemat rasa bangga, namun bukan bermegah, kerana punyai karya seorang seniman hebat, jujur lagi berani.

“Seniman yang berasal dari Muar ini dijoloki gelar pelopor seni moden Malaysia bersama antaranya Latif Mohidin, Ibrahim Hussein dan Anthony Lau,” kata Anwar.

Ujar Anwar lagi, beliau turut berasa dekat dengan Syed Ahmad Jamal kerana Allahyarham bukan sahaja melukis logo ADIL tetapi turut menghasilkan karya lain memperihalkan peristiwa ‘mata lebam’ Anwar.

Malah, Syed Ahmad Jamal turut melawat Anwar di penjara Sungai Buloh dan di mahkamah memberikan sokongan menentang pemerintah zalim.

Tambah Anwar, beliau sentiasa mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang beriman.

“Saya, Azizah dan keluarga sememangnya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dianugerahkan seorang sahabat yang baik dan setia.

“Izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham Syed Ahmad Jamal dan moga ruh allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang soleh,” kata Anwar.