LAWAN TETAP LAWAN

SHAH ALAM 25 JUN : Sekurang-kurangnya sembilan orang ditahan polis dalam tiga tangkapan berasingan malam tadi, dipercayai berkaitan dengan perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

Di Shah Alam, Timbalan Ketua Pemuda PKR Khairul Anuar Ahmad Zainudin ditahan kira-kira jam 11 malam di Shah Alam ketika pelancaran awal kempen Bersih 2.0.

Difahamkan beliau ditahan ketika mahu minum segelas air sebuah restoran dan dibawa ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Shah Alam supaya kenyataannya dapat dirakam polis.

Menurut laporan Keadilan Daily, sepasukan polis bertindak menghalang road show anjuran Aangkatan Muda Keadilan (AMK) yang diadakan di Uptown, Shah Alam.
Dengan jumlah anggota yang ramai termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU), mereka mengepung sekitar laluan menghala ke Uptown – lokasi tumpuan anak muda sekitar bandar raya ini.
Tekanan awal mulai dirasai apabila beberapa sekatan jalan raya dibuat sebelum polis yang kemudian menghalang orang ramai memasuki Uptown di Seksyen 24 itu, dengan melakukan kepungan sejak jam 7 malam.

Anggota polis turut menutup pentas Uptown yang dijadual berlangsung ucapan pimpinan AMK sempena program road show itu.

Sementara itu, seorang anggota PAS yang dikenali sebagai Shafri difahamkan turut ditahan, dipercayai kerana membawa barangan serta pakaian yang berkaitan dengan himpunan Bersih.

Kedua-dua mereka dilepaskan awal pagi tadi.

Di Johor pula, tujuh aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) ditahan ketika sedang mengedarkan risalah berkaitan himpunan Bersih dalam pelancaran kempen 'Udahlah tu ...Bersaralah'.

Kempen 'Udahlah tu...Bersaralah' ditumpukan ke bandar-bandar kecil di Semenanjung Malaysia dari 24 hingg 26 Jun untuk mendedahkan rekod BN, lapor akbar web PAS, Harakah Daily.

Sementara itu, portal Malaysiakini melaporkan enam pemimpin Bersih akan dipanggil memberikan keterangan bermula petang ini di Balai Polis Dang Wangi.

Mereka ialah , pengerusi gabungan itu, Datuk Ambiga Sreenevasan, ahli jawatankuasa pemandunya Maria Chin Abdullah, exco kerajaan Selangor Teresa Kok, aktivis sosial Hishamuddin Rais, koordinator kumpulan peguam Lawyers for Liberty, Fadiah Nadwa Fikri dan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan.
Menurut Maria, pegawai polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah memaklumkan perkara itu melalui pesanan SMS semalam yang meminta mereka hadir ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi supaya kenyataan mereka dapat diambil.
Dalam perkembangan terbaru, Ambiga memaklumkan bahawa perjumpaan dengan polis ditangguhkan.

"Setakat ini belum tahu tarikh baru," katanya melalui SMS kepada Malaysiakini.

No comments: