KUALA LUMPUR 10 MEI: Kenaikan harga barangan menunjukkan kerajaan semakin hilang kawalan dan kemampuan dalam mengurus hasil pendapatan negara dengan baik.
Sebaliknya kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, kerajaan sepatutnya mencari alternatif dalam meningkatkan pendapatan ekonomi negara dan bukannya menarik semula subsidi yang diberikan kepada rakyat.
“Tindakan kerajaan menaikkan harga gula sebanyak 20sen menunjukkan kerajaan sudah hilang satu kemampuan dan keupayaan untuk membantu rakyat. Sepatutnya kerajaan berfikir bagaimana mencari sumber kewangan bukan ambil apa yang telah diberikan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikia, mengulas kenaikan harga gula sebanyak 20sen menjadikan harga terkini barang kawalan itu RM2.30 berkuatkuasa hari ini.
Menurut Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena, kerajaan sepatutnya mengambil inisiatif menerokai sumber-sumber baru dan bukannya projek yang membazirkan wang rakyat.
“Sepatutnya kerajaan memikirkan cara mencari sumber baru. Kita sudah menyebutkan dalam Parlimen banyak sumber-sumber baru yang belum diterokai oleh pihak kerajaan disamping pihak kerajaan tidak berusaha untuk melaksanakan projek secara berjimat cermat,” katanya.
Malah menurut Mahfuz lagi, kerajaan katanya harus bijak menggunakan kenaikan harga RON97 dengan menurunkan harga RON95 supaya kos sara hidup rakyat dapat diturunkan.
“Keadaan ini sepatutnya dilihat oleh orang ramai betapa liciknya kerajaan membangkitkan isu perkauman dan kemudiannya menaikkan harga barang,” katanya.
“Bagi saya kerajaan harus melihat kembali apa yang disebut sebagai makmal rasionalisasi subsidi mesti diperbaruhi dan melibatkan pelbagai pihak supaya tidak membebankan rakyat. Saya melihat, keputusan yang dibuat oleh mereka (makmal rasionalisasi subsidi) akhirnya akan membebankan rakyat secara lebih besar,” katanya.
Kali terakhir harga gula naik pada 4 Disember lalu, sejajar dengan kenaikan Harga petrol RON95, diesel, Petroleum Gas Cecair (LPG).
Kenaikan yang dikenali sebagai "4-dalam-1" itu menimbulkan kemarahan banyak pihak, termasuk mewujudkan beberapa siri bantahan, terutamanya di sekitar Kuala Lumpur.
Pada waktu itu, harga gula naik 20sen, menjadikan harganya RM2.10 sekilogram.
Sebelum itu pada tahun yang sama, negara turut mengalami kenaikan "5-dalam-1" yang menyaksikan harga gula, dua gred petrol, diesel, dan gas dinaikkan.