Hishammudin Cetek Peranan Menteri




SHAH ALAM 8 MEI : Tindakan Menteri Dalam Negeri, Hishammudin Tun Hussien yang membayangkan Malaysia berada dalam bahaya berikutan terdapat ura- ura mahu menjadikan agama Kristian sebagai agama rasmi dinegara ini, disifatkan sebagai dangkal.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad turut menganggap Hishamuddin sebagai cetek pengetahuan mengenai tanggungjawabnya sebagai seorang menteri kabinet.

Beliau berkata, Hishamuddin sebagai seorang menteri harus menyiasat terlebih dahulu kesahihan dakwaan yang dilaporan Utusan Malaysia semalam.

Laporan muka surat depan Utusan berjudul "Kristian Agama Rasmi" semalam dibidas pelbagai pihak berikutan hanya menceduk dakwaan daripada 2 laman blog pro- UMNO, BigDog dan Marahku, bukannya daripada agensi berita atau individu yang mempunyai kreadibiliti tertentu.

Dakwaan itu terus dinafikan pelbagai pihak termasuk Paderi Besar (bishop) Pulau Pinang, DAP dan pimpinan Pakatan Rakyat yang lain.

Tanpa merujuk kepada pertubuhan yang dituduh, Hishamuddin menerusi akhbar Berita Minggu hari ini memberikan reaksi "gerakan ini amat menghasut dan meletakkan seluruh negara dalam bahaya".

Ketika dihubungi TV Selangor, Khalid Samad berkata, bukan sahaja DAP malah PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjulang agama Islam sebagai agama persekutuan sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan negara.

Khalid turut menepis dakawaan Utusan bahawa DAP bersekongkol mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian.

“Sekiranya itu adalah keinginan mereka sekalipun ianya sukar atau mustahil untuk dilakukan kerana DAP hanya bertanding maksimum dalam 60 kerusi parlimen sahaja.

“Sekiranya DAP menang semua kerusi sekalipun tidak mungkin boleh menguasai Parlimen kerana Parlimen Malaysia mempunyai 222 kerusi parlimen,” katanya yang merujuk bukan semua ahli DAP penganut Kristian.

Khalid kesal apabila Utusan tidak berperanan mengembangkan minda pembaca sebaliknya seringkali memperbodohkan rakyat dengan berita yang tidak beretika.

“Umno yang sepatutnya nak memperjuangkan kepentingan orang melayu patutnya berusaha untuk menjadikan orang melayu lebih cerdik tetapi malangnya dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri jelas mereka nak sekongkol nak jadikan orang melayu takut dan bodoh,” katanya.

No comments: