AMPANG 5 MEI : Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kerajaan Persekutuan mengkaji semula projek Transit Aliran Massa (MRT) bagi memastikan rakyat tidak dibebankan dengan kos pembinaannya kelak.
Menurut Anwar, Gamuda MMC, konsortium yang menjadi rakan kongsi projek (PDP) ini tidak telus khususnya dari sudut tata kelola penganugerahan tender mereka.
"Skop tanggungjawab yang terlalu besar dan menyeluruh yang diserahkan kepada PDP membolehkan Gamuda MMC membuat keputusan bagi BN mengenai projek dan tendernya," terang Anwar kepada wakil Pihak Berkuasa Tempatan di Menara MPAJ hari ini.
Projek MRT diumumkan tahun lepas di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Kerajaan mengumumkan kos projek menjangkau RM 55 Billion dan dibiayai oleh dana awam melalui penerbitan bon, yang bakal melonjakkan kadar keberhutangan negara melebihi paras 60 peratus.
Menurut Anwar lagi, kos RM 55 Bilion itu diumumkan terus oleh Gamuda tanpa sebarang kajian terperinci oleh pihak ketiga dan bakal menambah hutang awam negara.
"RM 55 Billion, senanglah mereka cakap, itu bukan duit mereka, rakyat yang bakal menanggung perkara ini," tegas Anwar.
Justeru, Anwar menyarankan agar satu panel bebas dibentuk untuk menyemak kos dan keberkesanan projek dan pandangan kerajaan Selangor perlu diambil kira kerana ia melibatkan sebahagian besar negeri dan rakyat Selangor.
Menurut Anwar lagi, Gamuda-MMC mempunyai motif bagi menentukan spesifikasi demi memaksimumkan keuntungan yang bakal diperoleh.
"Spesifikasi teknikal yang dicadangkan mungkin lebih mahal dan tidak diperlukan, tetapi dimasukkan untuk melonjakkan kos sesuatu pakej tender," katanya.
Tambah Anwar, Gamuda-MMC juga terlibat dalam konflik pertembungan memandangkan firma itu juga menjadi pembida utama bagi pakej kerja-kerja pembinaan bawah tanah.
"Pakej ini adalah pakej yang terbesar dan termahal kerana melibatkan kerja-kerja mengorek terowong," katanya lagi.