Warta Keadilan sudah terbit tanpa permit
Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetap menerbitkan lidah rasminya walaupun masih tidak mendapat ‘restu’ permit daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN). Berwajah baru dengan penampilan sulungnya sebagai ‘Warta Keadilan’, akhbar mingguan setebal 32 halaman muka surat itu diterbitkan secara tidak berkala dan sudah mula berada di pasaran hari ini dengan harga RM2.
Pengarangnya Fazallah Pit ketika dihubungi berkata, akhbar itu adalah transformasi daripada akhbar Suara Keadilan lalu di mana kandungannya kini beralih arah mensasarkan untuk menarik semula minat golongan pembaca daripada kalangan reformis, namun masih mengekalkan gaya penulisan secara profesional.
“Kami mahu beralih ‘angin’ dengan menarik minat lebih kepada golongan reformis kerana dahulu kandungan akhbar ini lebih tersasar kepada golongan profesional dan bukan ahli PKR.
“Melalui penyatuan gelombang reformis dan profesional ini kami harap akhbar ini mampu memberi maklumat telus mengenai perkembangan parti dan agendanya,” katanya ketika dihubungi FMT.
Turut difahamkan kartunis Zulkiflee Anwar Ulhaque atau lebih dikenali sebagai Zunar menjadi Penasihat Pengarang akhbar ini.
Fazallah berkata kandungan akhbar berwajah baru terbitan parti itu antaranya memfokuskan mengenai jawapan tohmahan dan kepincangan terhadap Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dalam ruangan khas temubual bersama Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution.
“Segala persoalan tentang ketelusan sistem pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) oleh JPP terjawab dalam tiga helai muka surat wawancara bersama Saifuddin,” katanya.
Muka depan akhbar itu pula memaparkan berita utama ‘Gugur tuduhan terhadap Anwar’ yang memfokuskan mengenai isu tuduhan liwat terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut menampilkan kolum hasil tulisan reformis Hishamuddin Rais serta yang lain.
Terdahulu, akhbar Warta Keadilan diterbitkan selepas penggantungan permit Suara Keadilan oleh KDN berikutan penyiaran berita utama di muka hadapan akhbar yang bertajuk “Felda Bangkrap” keluaran 237 bertarikh 22-29 Jun lalu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan mendakwa Suara Keadilan menyiarkan tuduhan fitnah terhadap syarikat konglomerat itu tunai mengenai rizab tunai Felda yang merosot hampir RM3 bilion.
KDN kemudiannya menyatakan permit Suara Keadilan yang tamat tempoh pada 30 Jun lalu tidak akan diperbaharui sehingga kementerian menerima penjelasan memuaskan berhubung penyiaran beberapa artikel termasuk mengenai FELDA.
Beberapa ahli parlimen PKR sebelum ini juga pernah bertemu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Parlimen bagi membincangkan kemelut isu permit akhbar berkenaan namun sehingga sekarang masih menemui jalan buntu.
Berikutan itu, akhbar lidah rasmi PKR mula berubah judul secara tidak berkala dengan terbitan Utusan Keadilan, Obor, serta Sinar Keadilan.
Edisi terakhir akhbar itu diterbitkan dengan nama “Metro Keadilan” sehingga dihentikan pada Ogos lalu berikutan hasil pengedaran dan penjualannya yang turun mendadak selepas permitnya digantung KDN.