Pemilihan yang Mengarut dan Memalukan - Amin Iskandar

Pemilihan yang Mengarut dan Memalukan - Amin Iskandar

Posted: Thu, 11 Nov 2010 07:55:00 +0000
KUALA LUMPUR, 11 Nov — Parti Keadilan Rakyat (PKR) tiada pilihan lain kecuali memanggil pemilihan baru bagi mengembalikan kredibilitinya sebagai sebuah parti masa depan, kata pemimpin Institut Kebangsaan Integriti Pilihan Raya (NIEI).

NIEI berpendapat PKR perlu bersikap terbuka dalam mempertimbangkan perkara tersebut, walaupun pedas untuk diterima, memandangkan rakyat khususnya mereka yang pernah mengundi komponen Pakatan Rakyat itu mengharapkan satu pemilihan yang benar-benar sifar masalah dan kepincangan.

Ketika ditemui, Pengerusi NIEI Amin Iskandar berkata, PKR pernah bercakap akan memperkenalkan sistem demokrasi yang lebih baik berbanding Barisan Nasional (BN) jika memerintah negara pada satu masa nanti.


Malangnya kata beliau, PKR kelihatan sudah tidak mampu dan telah gagal mengadakan pemilihan parti tanpa kecacatan dan kelemahan ketara yang didakwa wujud.

“Nampak mengarut... sungguh memalukan, saya cakap terus terang, saya tiada kepentingan dan saya tidak memihak sesiapa, ini yang berlaku dalam PKR sekarang.

“PKR kata hendak memperkenalkan sistem demokrasi yang lebih baik (berbanding amalan BN), tetapi mereka sendiri sudah tidak mampu untuk menunjukkan teladan baik kepada negara dan rakyat,” kata beliau ketika ditemui malam tadi.

Kata Amin, sudah semakin jelas yang proses pemilihan secara langsung parti semakin dipertikaikan oleh banyak pihak sama ada mereka dalam dan luar parti.

“Sekarang isunya bukan berapa ramai yang mempertikaikan pemilihan PKR, tetapi sudah ada pihak yang mempersoalkan perjalanan pemilihan raya... sama ada 10 orang, 100 orang, nama parti sudah tercalar,” kata aktivis pilihan raya ini.

Misalnya kata Amin, pemilihan semasa boleh ditangguhkan untuk tempoh enam bulan akan datang jika perlu dan parti harus membentuk sebuah jawatankuasa segar dan badan pemantau bagi tujuan tersebut.

“Jawatankuasa pemilihan dan badan pemantau sewajarnya pihak yang berbeza, jangan jawatankuasa pemilihan yang memantau perjalanan pemilihan... kerja mereka mengendalikan pemilihan sahaja,” katanya lagi.

Kata Amin, beliau tidak merasakan keputusan penagguhan jika diambil akan berhadapan dengan isu teknikal di bawah undang-undang pertubuhan kononnya Pendaftar Pertubuhan (RoS) akan mengharamkan parti jika tempoh enam bulan, yang berakhir bulan ini, terlajak.

“Saya yakin jika PKR memaklumkan kepada RoS, mereka akan layan, saya tidak fikir isu undang-undang akan menjadi satu masalah dan halangan besar untuk diadakan pemilihan baru,” kata beliau.

Dalam pertemuan berasingan, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin memberitahu The Malaysian Insider parti sudah tiada ruang untuk menangguhkan pemilihan memandangkan tempoh enam bulan yang diberikan oleh RoS berakhir bulan ini.

“Parti sepatutnya mengadakan pemilihan Mei tetapi ditangguhkan dengan dibenarkan oleh RoS. Jadi, kita menangguhkan, ia melanggar undang-undang dan parti boleh berhadapan dengan kemungkinan tindakan RoS... jadi ini perkara yang perlu diambil kira,” katanya.

Beliau yang bertanding mempertahanakn kerusinya memberitahu, sama ada harus ditangguhkan dan diadakan semula, perkara itu perlu diputuskan oleh jawatankuasa pemilihan parti yang diberikan mandat, bukannya Majlis Pimpinan Pusat dan Biro Politik.

Bagaimanapun katanya, “saya mencadangkan semua pihak berlapang dada, gunakan satu formula permuafakatan, yang sangat mustahak daripada pemilihan semula.”

“Formula permuafakatan itu lebih penting di mana dalam sistem pemilihan, calon-calon yang bertanding tahu kekuatan mereka dari semasa ke semasa, dan jika mereka merasakan tidak boleh menang, memberikan sokongan kepada calon lain, demi kekuatan parti dan PKR menjadi harapan rakyat,” kata Shamsul Iskandar.

“Calon-calon yang bertanding perlu mengambil sikap terbuka, berjiwa besar, jangan hanya kerana marahkan nyamuk kita mahu membakar kelambu,” katanya lagi.

Mengenai tenaga kerja untuk mengendalikan pilihan raya, kata Amin, “saya pasti rakan-rakan Pakatan Rakyat seperti DAP dan PAS akan membantu.”

“Mereka kata PAS dan DAP kawan mereka, sudah tentu mereka akan menyediakan tenaga kerja sukarelawan,” katanya beliau yang turut merasakan bahawa kesan masalah semasa PKR turut memberi tempias ke atas PAS dan DAP.

“Jika soal kewangan menjadi masalah, saya pasti rakan-rakan komponen Pakatan akan membantu,” kata beliau sambil menambah, pucuk kepimpinan parti termasuk Penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail perlu melihat manfaat jangka panjang.

“PKR bukan lagi parti untuk ahli PKR tetapi parti rakyat, yang diharapkan rakyat. Saya yakin PKR mengambil langkah ini, ia akan menaikkan imej parti,” katanya lagi.

Amin, berpengalaman memantau pilihan raya di negara asing berkata, PKR mempunyai niat yang baik tetapi tidak bersedia dengan mekanisme mantap untuk menghadapi pemilihan langsung ini.

“Nampa niat baik, tetapi (mereka) tidak menyediakan mekanisme, gagal menyediakan kumpulan pemantau yang benar-benar bebas,” kata beliau.

“Saya sudah melihat banyak pilihan raya, dan ini satu pemilihan parti yang sungguh memalukan,” kata Amin.

Amin mengesyorkan sekiranya PKR tidak bersedia untuk mengadakan pemilihan semula di seluruh negara, ia sekurang-kurangnya perlu diadakan di Sabah dan beberapa cabang yang menjadi pertikaian.

“Apabila ada calon-calon jawatan tertinggi mempersoalkan sistem pemilihan, bermakna pemilihan itu sudah tercemar... bermakna ia wajar diadakan semula,” kata beliau.

PKR yang berusia 11 tahun buat julung kali mengadakan pemilihan langsung yang memberikan setiap ahli peluang untuk memilih kepimpinan pusat.

Setakat 87 cabang telah mengadakan pengundian sepanjang lima hari pertama bermula 29 Oktober lalu.

Malam tadi, calon ketua sayap pemuda PKR Badrul Hisham Shaharin mengadakan pertemuan dan meluluskan enam resolusi - antaranya dipercayai mendesak parti menangguhkan dan mengadakan semula pemilihan sebagai langkah keluar daripada isu semasa yang beliau sifatkan sebagai “krisis”.

The Malaysian Insider difahamkan resolusi itu antara lain menggariskan siri tindakan untuk diambil setiap hari sekiranya permintaan menangguhkan pemilihan dan memperbaiki segala kelemahan dalam proses tidak diatasi.

Keputusan itu diambil ketika tinggal satu hari lagi sebelum hari keenam pengudian pemilihan pusat PKR - di bawah sistem pemilihan secara langsung - dilangsungkan.

“Kami memutuskan enam resolusi, ia akan disampaikan kepada pucuk kepimpinan parti... presiden dan kesemua anggota MPP dalam tempoh 24 jam,” kata Badrul Hisham pada sidang media tengah malam tadi.

Calon ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu memutuskan pendekatan itu di sebalik keputusan Datuk Zaid Ibrahim menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden.

Langkah itu disusuli seorang lagi calon jawatan itu, Mustaffa Kamil Ayub menyerahkan memorandum kepada parti kelmarin meminta pemilihan parti harus ditangguhkan sementara segala masalah dan isu yang ditimbulkan diselesaikan.

Bagaimanapun Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail menafikan pemilihan parti dicemari manipulasi dan penyelewengan sebagaimana didakwa oleh sesetengah pihak termasuk Zaid.