APA KATA AHLI PR TENTANG BELANJAWAN RMK10


Melihat kepada inti Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10), Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) petang tadi tidak menolak kemungkinan bahawa pemacuan ekonomi negara diramalkan kekal terperangkap di takuk yang lama, iaitu ekonomi berprestasi sederhana.

Ini kerana, menurut beliau, pembentangan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan di Dewan Rakyat pagi tadi langsung tidak mencerminkan bahawa kerajaan mempunyai iltizam politik untuk memulihara kebebasan mahkamah, demokrasi serta integriti dalam urus tadbir negara.

"RMK10 ini mungkin akan terus memerangkapkan kita (kerajaan) pada ekonomi berpendapatan sederhana, bukan ekonomi berprestasi tinggi seperti yang dicanangkan oleh Datuk Seri Najib.

"Asasnya di sini kerana tidak ada iltizam politik oleh kerajaan beliau (Najib) untuk pulih negara," ujar beliau di lobi Parlimen.

Beliau yang juga AJK PAS Pusat turut menganggap pelan ekonomi yang dirancang Najib masih terlalu bergantung kepada sumber bahan mentah, bukannya sektor perkhidmatan atau sumber-sumber yang diperbaharui.


Menurut analisa dari malaysiakini, Malaysia memerlukan purata RM115 bilion pelaburan swasta setiap tahun untuk mencapai sasaran pertumbuhan pelaburan sebanyak 12.8 peratus setahun, demikian menurut RMK10. Pelaburan hanya tumbuh purata 2 peratus antara 2006-2010.

Kerajaan akan mengurangkan perbelanjaan pemberian subsidi kepada RM15.7 bilion pada 2015 daripada RM18.3 bilion tahun ini, menurut RMK10.

Tetapi RMK10 mengelakkan isu-isu berduri seperti membubarkan dasar berasaskan kaum yang memberi keistimewaan kepada orang Melayu sejak empat dekad lalu - suatu perubahan, yang mengikut para penganalisis, sangat penting untuk Malaysia bersaing dengan ekonomi lain.

No comments: