Anwar cadang pendaftaran automatik kepada pemilih 18 tahun

Oleh Masdar Wahid

KUALA LUMPUR : Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya pendaftaran mengundi dapat dilaksanakan secara automatik untuk rakyat Malaysia yang mencapai usia 18 tahun.
Anwar menjelaskan seramai 4.3 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi, belum mendaftar.
Beliau juga menggesa agar SPR keluar dari cengkaman jentera pemerintah dan bergerak dengan bebas dalam meningkatkan jumlah suara rakyat yang bakal menentukan parti pilihan mereka.
Anwar turut membuat perbandingan SPR jauh lebih terkebelakang dengan badan yang sama peranannya di India, Indonesia dan Tukri dari segi kebebasan menjalankan tugas.

Pakatan Rakyat sebelum ini mengusulkan setiap rakyat berusia 18 tahun ke atas layak mengundi melalui pendaftaran secara automatik.

Usul itu ditandatangani bersama opimpinan tertinggi tiga parti iaiti Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS dalam dokumen dasar bersama Pakatan Rakyat.

Anwar berkata demikian pada sesi perbahasan sidang Dewan Rakyat dengan menyorot perhatian dewan kepada kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof pada 10 Februari lalu yang mengatakan pihaknya masih mengkaji pendaftaran melalui online.

Abdul Aziz dalam kenyataan sebelum ini mengakui pendekatan yang diambil SPR sejak sedekad lalu gagal mencapai sasaran yang diharapkan suruhanjaya itu.

Sejak 2003, SPR memperkenal pendaftaran pengundi baru sepanjang tahun dengan daftar pemilih dikemas kini setiap suku tahun, berbanding pendaftaran setahun sekali sebelum itu.

Selain itu SPR menggunakan khidmat 696 pejabat pos, kaunter statik di pejabat-pejabat SPR, kaunter bergerak dan penggunaan khidmat seramai 2,418 penolong pendaftar membabitkan wakil parti-parti politik.

Walhal, SPR melalui kenyataan Aziz mengatakan badan itu hanya mampu memproses sebanyak 300 ribu pendaftaran sahaja setahun sedangkan pengundi yang layak mengundi mencecah 500 ribu orang setahun.