WALAUN SAHIH TAK AKAN BACA.....

 


Ahmad Fahmi





Maka bertebaranlah berita bahawa harga diesel Thailand turun 2.14 baht/liter (sekitar 27 sen/liter), manakala Malaysia pula naik 70 sen/liter.

Disclaimer: ini bukan posting politik.  

Saya cuma ingin tambah beberapa fakta untuk membuka minda kepada sesiapa yang benar-benar mahu memahami isu ini.


1) Thailand memilih untuk campur tangan secara terus, bukan sekadar tunggu pasaran turun sendiri.


Untuk 9 April 2026, kerajaan Thailand meluluskan potongan 2 baht/liter pada harga ex-refinery bagi diesel B7 dan B20. Ini bermaksud kerajaan mengarahkan refinery menyerap sebahagian beban dengan memotong harga ex-refinery sebanyak 2 baht/L. Namun, mereka menegaskan bahawa langkah ini bukan untuk memaksa kilang rugi, sebaliknya hanya mengurangkan margin/refining profit yang dianggap terlalu tinggi ketika krisis.


Dengan kadar tukaran semasa, itu bersamaan kira-kira RM0.25/liter. Selepas mengambil kira kesan VAT, harga pam turun sebanyak 2.14 baht/liter, iaitu sekitar RM0.27/liter.


Harga diesel Thailand turun daripada 50.54 baht/liter kepada 48.40 baht/liter, iaitu kira-kira daripada RM6.28/liter kepada RM6.02/liter.


Ini menunjukkan satu perkara penting: harga pasaran diesel di rantau ini memang masih tinggi. Thailand bukan turun sebab harga diesel serantau sudah murah. Thailand turun sebab kerajaan mereka buat intervensi terus pada harga pintu kilang dan mekanisme sokongan harga.


2) Intervensi Thailand kali ini hanya tertumpu kepada diesel, bukan petrol.


Harga petrol Thailand yang biasa disebut ialah Gasohol 95 pada 43.95 baht/liter, iaitu sekitar RM5.46/liter. Cuma perlu difahami bahawa Gasohol 95 bukan sama tepat dengan RON95 Malaysia kerana ia petrol 95-octane yang dicampur ethanol (90% gasoline + 10% ethanol). Jadi, kalau nak banding dari sudut harga pam yang biasa dibayar rakyat Thailand, Gasohol 95 masih relevan. Tetapi kalau nak banding dari sudut spesifikasi yang lebih hampir apple to apple, Benzine 95 Thailand lebih sesuai, dengan harga sekitar 52.5–53.0 baht/liter atau kira-kira RM6.53–RM6.59/liter. Sebagai bandingan, RON95 Malaysia ialah RM1.99/liter bersubsidi dan RM4.27/liter tanpa subsidi bagi tempoh 9–15 April 2026.


Ini bermaksud Gasohol 95 Thailand adalah sekitar 174% lebih mahal berbanding RON95 Malaysia bersubsidi.  

Malah, jika dibandingkan dengan RON95 Malaysia tanpa subsidi sekalipun, Gasohol 95 Thailand masih sekitar 28% lebih mahal. 

Kalau dibandingkan pula dengan Benzine 95 Thailand, jurangnya sudah tentu lebih besar lagi (kira-kira 228%–231% lebih mahal berbanding RON95 Malaysia bersubsidi, dan sekitar 53%–54% lebih mahal berbanding RON95 Malaysia tanpa subsidi.)


Ini menunjukkan bahawa harga petrol Thailand pun sebenarnya tinggi.


Tetapi intervensi kerajaan Thailand kali ini memang fokus kepada diesel sahaja, bukan petrol/gasohol. Kenapa? Kerana diesel lebih kritikal kepada lori, logistik, bas, pengangkutan awam dan inflasi barang.


Dengan kata lain, mereka memilih untuk melindungi “fuel of the economy” dahulu, bukan semua jenis bahan api sekali.


Dari segi penggunaan pula, angka Thailand yang diumumkan menunjukkan jualan diesel harian sekitar 74.23 juta liter sehari. Ini jauh lebih besar daripada angka runcit diesel Semenanjung Malaysia yang pernah dilaporkan kerajaan sekitar 28.6 juta liter sehari.


3) Malaysia tak bagi subsidi diesel untuk industri pertanian, perikanan, logistik dan pengangkutan ?


Sebenarnya, Malaysia sudah lama beri subsidi kepada sektor-sektor ini, cuma mekanismenya berbeza.


Melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS 2.0/Fleet Card), sektor pengangkutan barangan darat dan pengangkutan awam yang layak boleh membeli diesel bersubsidi. MOF juga menyatakan harga di bawah SKDS dikekalkan pada RM2.15/liter, manakala pengangkutan awam tertentu menikmati kadar subsidi lebih rendah sekitar RM1.88/liter. 


Selain itu, kerajaan Malaysia juga memberi insentif lain di luar SKDS, antaranya:

 • BUDI Diesel RM300 sebulan bagi penerima BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi yang layak bagi April 2026, selepas tambahan interim RM100 diteruskan.

 • Diesel bersubsidi RM1.65/liter untuk nelayan, yang diteruskan dalam Belanjawan 2026.


Jadi bezanya di sini bukan semata-mata soal “siapa prihatin, siapa tidak”.  

Bezanya ialah kaedah intervensi kerajaan.


Thailand memilih untuk menurunkan harga diesel di pam secara terus melalui potongan harga ex-refinery dan pelarasan mekanisme sokongan harga.  

Malaysia pula memilih untuk melindungi pengguna RON95 sebagai pengguna terbesar, sambil pada masa yang sama mengekalkan subsidi diesel secara bersasar kepada sektor logistik dan pengangkutan awam melalui SKDS.


Kesimpulannya:


Walaupun Brent dilaporkan turun selepas pengumuman genjatan senjata, harga pasaran petrol dan diesel di rantau ASEAN masih tinggi, terutama untuk diesel.


Yang membezakan antara negara bukan semata-mata pasaran, tetapi cara kerajaan masing-masing memilih untuk campur tangan.


Malaysia memilih untuk terus melindungi pengguna RON95, iaitu kumpulan pengguna terbesar dalam negara.  

Thailand pula memilih untuk mengurangkan harga diesel dan mengekalkan Gasohol 95 pada harga pasaran tanpa subsidi.


Akhirnya, ini soal keutamaan dasar, bukan sekadar soal siapa turun dan siapa naik.




No comments: