10 APRIL 2026
Selepas diberi surat tunjuk sebab kali pertama pada 23 Februari lalu, bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli sekali lagi menerima surat seumpama itu.
Surat tunjuk sebab kali kedua kepada Rafizi bertarikh 9 April 2026 (semalam) mengandungi empat pertuduhan melanggar disiplin parti terhadapnya.
Rafizi tidak menunggu lama untuk menjawab surat tunjuk sebab itu, hanya setelah dua jam menerimanya, beliau terus menjawab keempat-empat pertuduhan yang dikenakan kepadanya itu.
Bekas Menteri Ekonomi itu turut mengongsikan surat jawapannya di semula platfom media sosialnya hari ini (10 April).
Pun begitu, apa kandungan jawapan atau penjelasan Rafizi kepada empat pertuduhan dalam surat tunjuk sebab PKR itu tidaklah penting sebenarnya.
Yang lebih, bahkan teramat penting ialah ayat terakhir dalam surat jawapannya itu.
Ayat akhir itu berbunyi - Saya berharap Lembaga Disiplin membuat keputusan yang tegas, cepat dan tidak lagi melengah-lengahkan perkara ini kerana rakyat sudah mual. Jika penjelasan saya itu dikira telah melanggar Perlembagaan parti, jadilah seperti sebuah parti yang normal (dan tidak songsang) dengan mengambil tindakan memecat, seperti yang telah dibuat kepada anggota-anggota parti lain yang dikenakan pertuduhan disiplin sebelum ini.
Meskipun Lembaga Disiplin menyebut ada tiga bentuk hukuman boleh dikenakan - amaran, penggantungan atau pemecatan - tetapi Rafizi secara tegas dan mencabar agar tindakan pecat diambil terhadapnya.
Melainkan jika PKR memilih untuk menjadi parti yang tidak normal atau songsang, maka bolehlah tindakan pecat itu tidak diambil terhadap Rafizi.
Amat berbisa dan penuh makna ayat terakhir yang ditulis Rafizi kepada Lembaga Disiplin PKR.
Berikutan itu, setelah menerima surat jawapan Rafizi, walaupun Lembaga Disiplin PKR ada banyak masa lagi untuk memberi responnya lantaran Ahli Parlimen Pandan itu terlebih pantas memberikan jawapan, sebagai tindak balas, Lembaga Disiplin juga seharusnya dengan sesegera mungkin bertindak mencadangkan kepada Majlis Pimpinan Pusat atau Anwar Ibrahim supaya bekas Timbalan Presiden PKR itu dipecat serta-merta.
Tiada hukuman lain patut dikenakan kepada Rafizi selain dipecat dan hukuman itu tidak wajar dilengah-lengahkan lagi.
Hukuman pecat kepada Rafizi tidak boleh dielakkan kerana selain ia merupakan permintaan Rafizi sendiri, berani memecatnya juga untuk memperlihatkan PKR sentiasa dilihat sebagai sebuah parti yang normal dan tidak songsang.
Akan malu besar PKR jika tiada keberanian menunaikan kemahuan sebagaimana diminta dan dicabar Rafizi itu. - ShahbudinHusin 10April2026.
No comments:
Post a Comment