KERANA MINYAK DAPAT UNDI, KERANA MINYAK JUGA BERKURANG UNDI




10 April 2026
Hari demi hari, isu kenaikan harga minyak terus memanaskan suhu politik dalam negara.
Jika minggu-minggu berikutnya kenaikan harga minyak terus berlaku dan tidak ditahan, darjah celcius suhu politik negara pasti terus bertambah panas lagi.
Terlalu banyak isu berkaitan minyak ini yang dibangkitkan sehingga dengan serangan pelbagai arah, kerajaan seperti hampir lemas untuk mempertahankan diri.
Paling terkesan dan terpaling dijadikan sasaran dalam isu minyak ini tentunya ialah Anwar Ibrahim.
Ia bukan saja disebabkan Presiden PKR itu ketika ini merupakan Perdana Menteri, tetapi lebih kerana beliau sebelum ini banyak menjadikan isu minyak sebagai modal politiknya.
Apabila muncul isu minyak sekarang ini, maka bertimbun-timbunlah serangan ditujukan kepadanya serta dimunculkan balik kenyataan dan petikan video ucapan lamanya berkaitan isu bahan api itu.
Daripada janji menurunkan harga minyak, kita ada formula, menghapuskan subsidi afalah khianat kepada rakyat, kita negara pengeluar minyak, pemimpin dahulu tak pandai mentadbir negara dan macam-macam lagi.
Pendek kata, semua platform media sosial kebelakangan ini sesak dengan putaran kembali video-video lama Anwar berkaitan isu minyak ketika beliau bergelar Ketua Pembangkang dahulu.
Apabila kenyataan dan video lama itu dikaitkan dengan kenaikan harga minyak semasa yang sedang berlaku, yang ternampak di gambaran umum tidak lain ialah kontras yang nyata antara dahulu dan sekarang.
Dalam hal ini, barangkali inilah ujian yang didatangkan Tuhan kepada Anwar.
Jika dulu beliau berjanji pelbagai perkara dengan bermodalkan isu minyak, kini dengan kenaikan harga minyak berlaku ketika dirinya sudah bergelar Perdana Menteri, sebenarnya inilah masanya untuk melihat beliau menunjukkan kemampuan menunaikan segala kata-katanya sebelum ini.
Inilah juga ketikanya Anwar harus membuktikan beliau benar-benar ada formula untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat dan negara sebagaimana kerap dilaungkan dahulu.
Meskipun berlaku perang di Iran yang dianggap sebagai penyebab kenaikan harga minyak, tetapi tiada pemimpin lain di dunia yang dihentam oleh rakyatnya sendiri sebagaimana Anwar kena hentam.
Jawapannya mudah - ia kerana pemimpin negara lain tidak naik ke puncak kuasa dan berkempen untuk mendapat undi dengan menunggang isu minyak.
Memang diakui Anwar berjaya memperolehi undi dan sokongan untuk akhirnya diangkat menjadi Perdana Menteri dengan bermodalkan isu minyak, namun kini, isu minyak jugalah mula menghantuinya.
Kalau minyak terus naik minggu demi minggu, Anwar dan PH pasti berdepan laluan sukar mengekalkan kerajaan ini.
Rakyat tidak peduli pasal konflik perang, kos pengeluaran, kos insuran, ditambah lagi kononnya kerana penyeludupan, tetapi yang ditagih ialah janji dan kata-kata manis mejanjikan harga minyak rendah yang pernah diucapkan sebelum ini.
Bagi rakyat, jika benar ada formula, apa halangan sekali pun, ia mesti mampu dihadapi dan dihadirkan penyelesaian, bukan semata-mata memindahkan kenaikan itu kepada rakyat.
Sebab itu, dengan PRN beberapa negeri bakal dilangsungkan tidak lama lagi, seterusnya diikuti PRU16 - Anwar, PKR dan PH dirasakan bakal berdepan cabaran paling getir sekali.
Kesimpulannya, kerana minyak dapat undi, kerana minyak juga menyebabkan hilang banyak undi. - ShahbudinHusin 10April2026.

No comments: