PENDAPAT, 12 Dis – Peranan yang dimainkan menerusi inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) dalam memperkukuhkan kesalinghubungan antara rakyat dan kerajaan sememangnya tidak dapat disangkal biarpun diakui mengalami sedikit kelewatan dari segi pelaksanaan.
Pun begitu, melalui sesi libat urus secara kerap serta menjalankan pemeriksaan mengejut di tapak lapangan, ternyata ia mula membuahkan hasil dalam tempoh beberapa bulan ini.
Antara lain, objektif utama JENDELA sudah tentulah menyediakan akses internet yang lebih baik, cepat dan berkualiti di kawasan berpenduduk di seluruh negara secara berperingkat.
Malah, Kementerian Komunikasi sedang melakukan rombakan menyeluruh terhadap sistem dan proses pelaksanaan pelan JENDELA Fasa 2 bagi memastikan pelaksanaannya lebih berkesan.
Ini ditambah lagi dengan kenyataan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang menegaskan pelan JENDELA yang sedang dirombak mesti lebih tepat dan jitu serta tidak hanya bergantung kepada penilaian desktop semata-mata.
Ketika di Kota Kinabalu, beliau mendedahkan kontraktor yang gagal dalam pelaksanaan JENDELA Fasa 1 pula akan diteliti had penglibatan mereka dalam Fasa 2 yang dijangka melibatkan antara 2,500 hingga 3,000 tapak infrastruktur telekomunikasi di seluruh negara.
“Kita jangkakan pada 2025, sekiranya pihak MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) sudah teliti, kita umumkan Fasa 2 tetapi proses pertama (ialah) merombak keseluruhan sistem.
“(Rombakan) sudah berjalan dan kita mula merungkai banyak persoalan yang timbul,” katanya pada sidang media baru-baru ini.
Tumpuan diberikan kepada meningkatkan akses dan pengalaman rakyat menikmati sambungan internet dengan penyedia perkhidmatan rangkaian pilihan yang merupakan salah satu agenda digital negara.
Dengan meningkatkan infrastruktur digital di seluruh negara, JENDELA memastikan bahawa semua lapisan masyarakat, termasuk di kawasan luar bandar, boleh mendapat akses kepada maklumat dan perkhidmatan digital secara mudah dan lancar.
Melalui penyediaan infrastruktur yang lebih baik, JENDELA memberi peluang kepada rakyat untuk terlibat secara aktif dalam ekonomi digital, pendidikan atas talian, e-dagang, dan pelbagai bidang lain yang berkaitan dengan teknologi digital.
Ini akan membantu melonjak transformasi digital bagi peningkatan taraf hidup rakyat, meningkatkan kemahiran digital mereka, dan memperluas peluang pekerjaan di era yang semakin bergantung kepada teknologi.
Selain itu, JENDELA juga memperkukuhkan hubungan digital antara kerajaan dengan rakyat melalui kemudahan untuk akses kepada pelbagai perkhidmatan kerajaan secara atas talian.
Ini membantu meningkatkan kecekapan pentadbiran dan sistem penyampaian kerajaan, memudahkan urusan rakyat dengan kerajaan, serta memastikan keadilan dan keberkesanan dalam penyampaian perkhidmatan awam.
Meskipun peranan JENDELA dalam memperkukuhkan kesalinghubungan rakyat dan kerajaan kerap diperlekeh pembangkang, ia tidak menghalang Kementerian Komunikasi berusaha memastikan legasi terdahulu dapat diperbaiki demi manfaat rakyat dan negara.
Ekosistem digital penting bagi mengangkat martabat Malaysia mendepani cabaran serantau dan antarabangsa kerana ia bergantung kepada kebolehlaksanaan JENDELA sebagai enjin pertumbuhan ekonomi rakyat dan negara.
Inilah hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekanan peri pentingnya jalinan digital negara diperkasa bagi mengukuhkan ekosistem digital tidak kira di bandar mahupun di desa.
Kita harapkan agar inisiatif JENDELA ini mampu membawa rakyat ke arah pelaksanaan negara digital selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI tanpa mengira geografi, latar belakang mahupun fahaman politik.