1. Modus operandi pemimpin PAS untuk mendapatkan undi Melayu ialah dengan menakutkan orang Melayu terhadap DAP yang dikaitkan pula dengan PH.
2. Bagi menjayakan motif ini, banyak cerita rekaan dan naratif dongeng yang terpaksa direka dan disebarkan untuk mengocak emosi dan sentimen perkauman dan prasangka agama. Semakin sensasi cerita tersebut, semakin tajam dan dalam kesannya ke atas minda orang Melayu. Bagi mereka yang penting adalah undi. Soal salah atau tidak, soal dosa pahala ... itu belakang cerita.
3. Cerita politik dongeng ini pula hanya disebarkan di kalangan masyarakat Melayu, samada melalui kuliah di surau masjid, atau melalui ceramah politik, atau usrah, atau melalui sembang kedai kopi, atau melalui media sosial. Cerita bohong dan fitnah ini disebar dalam bahasa Melayu dan diselang seli dengan petikan hadith dan ayat Quran yang diolah mengikut selera politik mereka. Adakalanya mereka juga mengambil kononnya kata-kata tokoh ulamak yang tidak dapat dipastikan sumbernya. Tujuannya hanya untuk menimbulkan prasangka, kemarahan, kebencian, dan permusuhan ke atas DAP. Bila orang Melayu benci DAP, mereka akan menolak PH dan mengundi parti mereka. Sifir politik yang mudah dan murah. Hanya dengan air liur sahaja.
4. Para pemimpin DAP tidak ada banyak ruang untuk mempertahankan diri kerana sebaran fitnah ini hanya berkitar di kalangan masyarakat Melayu dan dari sudut politik perlakuan PAS ini tidak menjejaskan DAP pun kerana DAP tidak bertanding di kawasan Melayu. Jadi keadaan ini dibiarkan berlarutan lama dan PAS merasakan ianya boleh diteruskan dengan selesa.
5. Sebaran cerita bohong dan fitnah tentang DAP memang mudah dan berkesan kerana ia menyentuh emosi dan sentimen orang Melayu. Bukan soal betul atau salah. Yang penting reaksi dan sokongan politik dari cerita bohong dan fitnah itu memihak kepada mereka.
6. Di kalangan rakan-rakan aktivis PAS pula mereka menganggap ianya adalah strategi politik yang absah. "Peperangan itu tipudaya", mereka berdalil dengan sabda Nabi SAW. Mereka tidak melihatnya sebagai dosa atau bercanggah dengan hukum agama. Bagi mereka ia hanya sebahagian dari agenda besar menegakkan syariat Islam. Walaupun ini pemikiran yang aneh, tetapi doktrin politik agama yang mereka pegang mengabsahkan begitu.
7. Bagaimanapun tindakan menyebar fitnah dan bohong dengan memainkan sentimen perkauman dan agama ini membawa kesan yang besar dan buruk kepada negara, bukan sahaja dari sudut kestabilan politik dan keharmonian masyarakat berbilang kaum, tetapi juga menjejaskan keselamatan negara. Beberapa insiden keganasan, ugutan jenayah, dan perbuatan melampau mula berlaku. Ini membimbangkan banyak pihak sehingga Majlis Raja-Raja Melayu sendiri terpaksa mengeluarkan kenyataan tentang bahaya memainkan isu 3R untuk kepentingan politik kepartian.
8. Ucapan-ucapan fitnah dan bohong yang berleluasa mula dikongsi di dalam media sosial serta media arus perdana turut memberi liputan. Ini memberi kesan yang lebih besar dari sudut perundangan di mana pihak yang menjadi mangsa fitnah sudah boleh mengambil tindakan undang-undang.
9. Maka bersusunlah satu persatu pimpinan PAS dan PN didapati memfitnah oleh mahkamah. Yang terbaru Presiden Bersatu diminta membayar RM1.4 juta dan MP Kepala Batas kena bayar RM825 ribu kerana memfitnah para pemimpin DAP.
10. Semoga rakyat Malaysia dan orang Melayu khususnya sedar bahaya kejahatan politik fitnah dan bohong yang beralaskan perkauman dan fanatik agama ini.