Nik Hasyudeen
Hanya orang yang ada kuasa boleh melakukan rasuah. Ini adalah kerana tanpa kuasa itu, walaupun sedikit, dia tidak ada nilai di sisi orang yang membayar rasuah.
Di dalam masa yang sama, orang yang berkuasa boleh menyalah gunakan kuasa untuk kepentingan dirinya, keluarganya dan puak-puaknya.
Apa yang jarang diperkatakan malah sering dilupakan ialah mangsa perasuah dan penyalah guna kuasa. Di dalam kes yang melibatkan duit kerajaan, kita semualah di antara mangsanya.
Mari kita ambil kes SRC yang sudah diputuskan oleh mahkamah sehingga ke mahkamah tertinggi negara:
1. Ianya melibatkan dana RM 4 bilion milik KWAP yang melabur untuk membayar pencen penjawat awam
2. Sampai hari ini tidak tahu apa yang didapati dengan pembayaran RM 4 bilion itu
3. Oleh kerana ianya melibatkan jaminan kerajaan, kerajaan persekutuan sudah membayar RM 4 bilion kepada KWAP dari duit kutipan cukai dari kita semua
Dari hujah-hujah di atas, kita semualah yang menanggung kerugian RM 4 bilion dari kes jenayah di atas. Berapa buah sekolah dan hospital yang boleh dibina dengan duit RM 4 bilion?
Semalam KD Pendekar terkandas di perairan Johor. Ianya dilaporkan bocor kerana melanggar sesuatu di bawah air.
Apabila sebuah aset tentera laut tidak boleh digunakan, sebahagian perairan negara terdedah kepada ancaman. Bukankah ini isu keselamatan dan kedaulatan negara?
Apa kena mengena KD Pendekar dengan rasuah dan salah guna kuasa?
Sekiranya projek Littoral Combat Ship (LCS) disiapkan mengikut jadual asalnya, tentunya kapal-kapal TLDM itu sudah boleh berkhidmat untuk melindungi perairan dan kedaulatan negara. Jadi risiko KD Pendekar tak boleh beroperasi tidak begitu merisaukan.
Kita semua tahu bahawa projek LCS ini bermasalah disebabkan pelbagai salah laku. Ada laporan audit forensik dan ada laporan dari Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC).
Setakat ini:
1. Bilangan kapal LCS di bawah kontrak ini sudah dikurangkan dari 6 buah kepada 5 buah
2. Kos pembuatan LCS naik dari RM 9.128 bilion kepada RM 11.22 bilion, naik RM 2.092 bilion
3. Belum ada sebuah pun LCS yang siap sedangkan mengikut jadual asal sepatutnya sudah ada yang siap dan beroperasi
Saya tidak tahu apakah lagi bukti-bukti yang diperlukan oleh masyarakat untuk membenci perasuah dan penyalah guna kuasa. Mereka bukanlah manusia-manusia yang mulia. Malah, mereka tidak memperdulikan kita pun. Yang pentingnya mereka, keluarga mereka dan puak-puak mereka jadi kaya raya.
Jika LHDN menganggap pembayar cukai adalah wira negara, tentunya orang-orang yang menyebabkan dana cukai lenyap begitu sahaja adalah pengkhianat negara.
Semoga Allah membuka mata jantunghati kita dan dapat melihat kekejian perasuah dan penyalah guna kuasa.