Hasrat dan ingin kembali dominan menjadi topik paling hangat sepanjang berlangsungnya PAU2024 yang berakhir semalam.
Sama ada di dalam atau di luar dewan mesyuarat, dominan adalah perkataan yang hampir tidak lekang diperkatakan.
Kalaulah UMNO tidak menang di PRK Nenggiri baru-baru ini, ungkapan dominan sudah pasti akan kekal tersembunyi di Gua Musang.
Hanya kerana menang di Nenggiri, berdentam-dentum pemimpin UMNO mahu parti itu kembali dominan.
Apa sebenarnya dominan yang ingin dihasrati oleh UMNO itu?
Mampukah ia dicapai?
Dalam hal berkaitan, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran kepada ahli-ahli parti itu agar mengetepikan perbezaan dalam usaha memperkuatkan parti supaya ia kembali menjadi dominan pada PRU16 akan datang.
“Untuk jadi dominan semula, tak ada orang lain boleh bantu kita, kita mesti bantu diri dengan memperkuatkan parti kita sendiri,” katanya.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh pula tidak mahu parti Melayu itu selesa dengan situasi semasa iaitu sekadar menjadi pelengkap kepada kerajaan perpaduan hari ini.
Sebaliknya, beliau menegaskan, UMNO perlu kembali menjadi dominan dalam landskap politik tanah air seperti di era kegemilangan parti Melayu itu sebelum ini.
Naib Presiden UMNO, Johari Abdul Ghani berkata, untuk kembali dominan, UMNO dan BN mungkin memerlukan dua atau tiga pilihan raya lagi bagi merealiasaikan hasrat tersebut.
Bagi situasi semasa dan dalam konteks kerajaan perpaduan sekarang, keinginan UMNO kembali dominan itu tidak lain bermakna parti itu ingin memenangi jumlah kerusi terbanyak dan seterusnya kembali menduduki kerusi Perdana Menteri.
Sama ada akan bertanding solo atau berdasarkan pembahagian kerusi mengikut formula kerajaan perpaduan, UMNO pada hakikatnya mahu memenangi jumlah kerusi terbesar sekali bagi mencapai tujuan itu.
Kalau sekarang BN ada 30 kerusi dan PH ada 81 (dulu ada 82 termasuk Muda), ini bermakna UMNO pada PRU16 akan datang harus meningkatkan jumlah kemenangan mereka melebihi mana-mana parti dalam PH sekarang.
Jumlah kerusi PH sekarang ialah DAP 40, PKR 31, Amanah 8 dan Upko 2.
Katalah UMNO dan PH masih boleh membentuk kerajaan selepas PRU16 akan datang, di sinilah pentingnya kerudukan dominan dan jumlah kerusi terbanyak itu.
Jika jumlah kerusi UMNO lebih besar daripada PKR, maka sudah tentu mereka akan menuntut kerusi Perdana Menteri yang kini disandang oleh Anwar Ibrahim.
Tetapi dalam hal ini, PKR masih disokong oleh DAP, Amanah dan Upko yang sudah tentu lebih mahu pemimpin PKR mengisi jawatan Perdana Menteri berbanding menyerahkannya kepada UMNO.
Keadaan hanya mungkin berubah jika jumlah kerusi UMNO jauh lebih besar daripada PKR.
Kalau bertanding solo pula, jika berjaya memenangi jumlah kerusi terbanyak, UMNO pada ketika itu sudah tentu akan membuka ruang mencari rakan kongsi daripada parti-parti lain bagi merealiasasikan cita-cira dominan mereka.
Soalnya, bolehkah semua itu dicapai dengan mudah?
Apakah Anwar tidak menyedari dominan UMNO itu bererti boleh mengancam kedudukannya?
Dalam hal ini, pandangan Johari Ghani ternampak lebih realistik iaitu UMNO memerlukan dua atau tiga PRU lagi untuk mampu kembali dominan.
Itu pun, jika UMNO benar-benar sedia untuk berubah. – ShahbudinHusin 25Ogos2024.
https://shahbudindotcom.net/2024/08/25/dominan-umno-bermakna-mereka-mahu-rebut-kerusi-perdana-menteri.html