Pelaksanaan subsidi bersasar
khususnya ke atas RON95 dan diesel adalah langkah bertanggungjawab kerajaan
menyelamatkan ekonomi negara.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri
Anwar berkata, kerajaan terdahulu sudah berbincang dan mempersetujui
pelaksanaanya namun tidak berani melaksanakan dasar yang dianggap tidak popular
itu.
"Kerajaan ini kerajaan
yang berani untuk menyelamatkan ekonomi negara dan kita akan laksanakan (subsidi
bersasar).
"Di mana rakyat merasakan
mereka rugi dalam belanja minyak, kita tampung. Ini adalah dasar
bertanggungjawab dan inilah reformasi," katanya pada ucapan di Konvensyen
25 Tahun KEADILAN di Pusat Konvensyen Shah Alam (IDCC) Shah Alam pada Ahad.
Sementara itu Anwar yang juga
Menteri Kewangan memberi jaminan bahawa rakyat yang terkesan dengan penyasaran
subsidi akan dibantu menerusi pemberian tunai bulanan yang kali pertama
ditawarkan kepada rakyat berbanding subsidi pukal sebelum ini.
"Kalau (harga minyak)
naik, kita bagi suntikan langsung kepada rakyat. (Subsidi digunakan) naik RM100
sebulan, kita bagi RM100, ada masalah ke? nak bantah sebab apa?
"Ini kaedah (pemberian
tunai) kita fikir punya lama, puluh tahun dibincang, puluh tahun juga kerajaan
(terdahulu) setuju, tapi tak berani dilaksanakan sebab dia takut tak
popular," katanya dipetik.
Menurut Anwar lagi polisi
subsidi bersasar sangat diperlukan bagi mengelakkan penyeludupan diesel di
sempadan negara kerana harga bahan api itu lebih mahal di negara jiran.
Juga sekitar 4 juta pendatang
asing mendapat nikmat membeli petrol RON95 bersubsidi.
Untuk rekod, pada 2023 kerajaan
membelanjakan kira kira RM10 bilion bagi subsidi diesel.
Dengan pelaksanaan dasar
subsidi bersasar dijangka 50% penjimatan boleh didapatkan dan dana berkenaan
diguna untuk tujuan meningkatkan kemudahan sosial lainnya.