Kerajaan lanjutkan projek pelebaran Lebuhraya PLUS hingga Ayer Hitam



Kerajaan Persekutuan bersetuju melanjutkan projek pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) yang sebelum ini berakhir di Simpang Renggam, diteruskan sehingga ke Ayer Hitam.



Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata pertambahan 17 kilometer lagi projek pelebaran Lebuhraya PLUS itu dibuat berikutan peruntukan RM931 juta yang diberikan kerajaan mencukupi untuk kerja-kerja pelebaran tersebut.



"Sebelum ini sudah diumumkan projek pelebaran Lebuhraya PLUS daripada empat lorong kepada enam membabitkan peruntukan RM525 juta sejauh 21 kilometer (km) antara Senai Utara ke Sedenak.

"Namun dalam Belanjawan 2024 Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan kerajaan bersetuju untuk melaksanakan projek pelebaran Lebuhraya PLUS daripada empat kepada enam lorong dilanjutkan dari Sedenak sehingga ke Simpang Renggam, dengan peruntukan RM931 juta.



"Hari ini saya ingin memaklumkan dengan peruntukan sama RM931 juta, projek pelebaran Lebuhraya PLUS antara Sedenak bukan berakhir di Simpang Renggam sahaja, tetapi ia akan diteruskan sehingga ke Ayer Hitam membabitkan pertambahan 17km lagi.



"Pertambahan 17km lagi dibuat selepas penilaian awal mendapati peruntukan RM931 juta mencukupi sehingga pelebaran di Ayer Hitam," kata dipetik pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat JKR Johor di Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, Gelang Patah pada Ahad.



Sementara itu jelasnya, JKR ketika ini sedang melaksanakan Kajian Nilai (Value Assessment-VA) supaya projek pelebaran Lebuhraya PLUS terbabit tidak hanya berakhir di Simpang Renggam.



Laluan enam hingga lapan lorong di Lebuhraya PLUS dari Kuala Lumpur ke selatan hanya berakhir di Melaka.

No comments: