Hina sultan: Pas jangan ambil sikap dua darjat, bertindak ke atas ahli biasa



 

Pemuda Pas harus berani untuk menegur kesilapan dan kecuaian pimpinan mereka agar kenyataan yang bersifat menghina institusi diraja tidak berulang lagi.



Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Nasional, Danial Al Rashid Haron berkata Pas juga diingatkan agar tidak bertindak antara dua darjat atau berat sebelah dalam menangani isu tersebut.



"Sebelum ini, Presiden Pas (Tan Sri Abdul Hadi Awang) mengeluarkan satu tulisan yang membawa kenyataan hampir serupa yang menghina sultan sehingga membawa kepada rasa dukacita Sultan Selangor.



"Pemuda Pas seharusnya menyiasat punca di sebalik tindakan ahli-ahli mereka menghina sultan secara terbuka. Mungkin ada kekurangan dalam pemahaman terhadap nilai-nilai kebudayaan dan sensitiviti terhadap institusi monarki," katanya.



Danial yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Tiga berkata siasatan juga perlu melihat kesan dan implikasi dari kenyataan Presiden Pas yang mungkin memberi kesan langsung kepada sikap dan tindakan ahli-ahli parti.



"Kesedaran terhadap betapa pentingnya menghormati institusi monarki harus disemai dari puncanya termasuk dari kalangan pemimpin tertinggi parti itu sendiri.



"Jangan hanya berani menyeru tindakan kepada ahli biasa, tetapi menutup mata terhadap kebiadaban pimpinan parti," katanya.



Dalam pada itu, Danial menghargai kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pemuda Pas Johor dan Selangor berhubung tindakan seorang ahli mereka menghina sultan amat dihargai.



"Penghormatan terhadap institusi monarki adalah asas penting dalam masyarakat Malaysia. Kenyataan media tersebut menunjukkan kesedaran terhadap nilai-nilai kebudayaan dan tradisi yang perlu dijaga dalam menjaga keharmonian sosial.



"Gesaan Pemuda Pas Selangor agar tindakan tatatertib diambil terhadap individu terbabit juga penting untuk memastikan kredibiliti parti itu di mata masyarakat awam," katanya.



Sebelum ini tular hantaran seorang ahli Pas Hezry Yasin menerusi Facebook berhubung keengganannya untuk mengaminkan doa buat Yang di-Pertuan Agong dan sultan ketika menunaikan solat Jumaat di Johor baru-baru ini.



Bagaimanapun, hantaran itu telah dipadamkan.



Pemuda Pas Selangor dalam kenyataannya semalam menyerahkan kepada polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan lanjut berhubung kenyataan bekas ahli jawatankuasa sayap parti itu.



"Pemuda Pas Selangor menyerahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib Pas untuk mengambil sebarang tindakan yang wajar sekiranya tindakan Hezry itu melanggar displin parti," kata Setiausahanya, Aubidullah Fahim.

 

1 comment:

Anonymous said...

Sbb damage is done so kena lah charge court or saman…lepas tu nk minta maaf setinggi langit pun ikut suka kamu lah…wajib kena penalti Maaf lain cerita…kena hajor cukup2…klu kes Jln 5-6thn bior dia rasa baru dia reti baso…