Abdul Hadi rela dipenjara

Kuala Lumpur: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan beliau rela untuk masuk penjara berbanding membayar denda jika disabitkan kesalahan mengikut Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 susulan ucapan yang didakwa mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan.

Menurutnya, ini kerana daripada membayar denda, lebih baik wang itu disalurkan kepada Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti).

"Saya sedia menunggu untuk dipenjarakan oleh mahkamah dan saya sedia dihukum. Tidak tahu dihukum sama ada penjara atau denda.

"Saya pilih penjara, saya tak mahu bayar denda. Daripada bayar denda, baik beri kepada Pasti," katanya semasa membahaskan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini dilapor menyatakan kertas siasatan Abdul Hadi berhubung kenyataannya yang mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

Ia susulan kenyataan dalam ceramah di markas parti itu di Bakri, Muar, Johor bulan lalu dan disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam pada itu, Abdul Hadi turut menjawab mengenai celahan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) yang bertanyakan berkait isu hukum melepas tanpa membebaskan.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, di dalam akidah Islam mempunyai dua mahkamah iaitu dunia dan akhirat."Walaupun dia lepas mahkamah dunia, tidak lepas mahkamah akhirat. Orang yang ada iman, dia sanggup (terima) hukum di (mahkamah) dunia ini, jangan dihukum di akhirat. Ini bermakna orang yang ada iman," katanya.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.