KALAU TERBUKTI GUAN ENG PUN MAIN ISU 3R, KERAJAAN MESTI BERANI AMBIL TINDAKAN

 


Apabila kerajaan mengeluarkan arahan atau peringatan agar isu berkaitkan 3R (Raja, Agama dan Kaum) tidak dimainkan, terutama menjelang PRN akan datang, ia sebenarnya bukan saja ditujukan kepada parti atau pemimpin blok pembangkang semata-mata.

Secara umum dan mudah difahami, arahan berkaitan larangan isu 3R itu adalah bersifat menyeluruh dan tidak memilih bulu.

Semua parti, pemimpin atau sesiapa saja tidak terkecuali daripadanya kewajipan mematuhinya.

Jika tidak, arahan atau peringatan seperti itu tidak bermakna sama sekali.

Namun demikian, terlebih penting lagi sebenarnya, parti dalam kerajaan perpaduan sendiri haruslah lebih dahulu mematuhi arahan tersebut.

Kiranya pihak pembangkang dianggap bersalah kerana melanggar arahan yang dikeluarkan kerajaan, pemimpin yang berada dalam kerajaan atau partinya sebahagian daripada kerajaan lebih bersalah lagi jika berbuat demikian.

Ini kerana, sebagai parti atau sebahagian daripada kerajaan, menunjukkan teladan dan mematuhi arahan yang dikeluarkan kerajaan sendiri adalah lambang intergriti serta kewibawaan.

Sebab itu, semua kita, tentu terkejut dengan laporan berhubung kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang memberi amaran kepada pengundi Pulau Pinang untuk menyekat “gelombang hijau” daripada bertapak di negeri itu, sambil mendakwa ia akan mengakibatkan tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan Islam berdepan pelbagai sekatan.

Portal Malaysia Now yang memetik laporan daripada Chine Press yang menyebut bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu sebagai berkata, jika “gelombang hijau tidak senang dengan tokong yang mereka lihat, mereka akan memusnahkannya”.

“Tetapi selagi Pulau Pinang masih kekal sama, rakyat masih boleh bersembahyang kepada dewa dan Buddha,” kata Lim ketika menghadiri sebuah acara keagamaan sempena Jelajah Raja Naga Putih Tian Fu Gong di Jelutong semalam.

Laporannya di sini – https://www.malaysianow.com/my/news/2023/07/08/guan-eng-dakwa-gelombang-hijau-bakal-musnahkan-tokong-nafi-hak-agama-di-pulau-pinang

Dalam hal ini, kita tentu terkejut dan hairan, jika benar, bagaimanakah kenyataan seperti yang dilaporkan itu boleh dikeluarkan oleh pemimpin DAP yang merupakan sebahagian daripada kerajaan?

Dan sebagai membuktikan keseriusan serta ketegasan mengota apa yang dikata, pihak berkuasa dalam hal ini hendaklah segera menyiasat Lim Guan Eng untuk mengetahui sama ada beliau benar-benar berucap sebagaimana dilaporkan media itu atau sebaliknya.

Kalau sahih, kerajaan mesti berani dan tidak takut mengambil sesuatu tindakan yang munasabah.

Ini sebagai pengajaran dan untuk menunjukkan betapa kerajaan benar-benar serius menjaga keharmonian dan perpaduan kaum serta agama di negara.

Penduduk pebagai kaum dan agama secara umumnya tiada masalah untuk hidup harmoni di negara ini, tetapi ia seringkali dirosakkan oleh lidah-lidah ahli politik yang terdesak untuk memperolehi undi.

Mereka inilah yang sering memecahbelahkan perpaduan dan menghasut rakyat menggunakan sentimen kaum dan agama semata-mata untuk memperolehi undi.

Maka itu, kerajaan tidak boleh bertolak ansur lagi tanpa mengira siapa.

Pembangkang, pemimpin kerajaan, bekas Perdana Menteri, negarawan, agamawan atau siapa saja, jika terbukti memainkan isu 3R, tindakan tegas hendaklah diambil tanpa pengecualian.

Jika kes berkaitan Lim Guan Eng ini boleh dijadikan duluan dalam menunjukkan ketegasan kerajaan, maka jika ada kes-kes 3R yang lain berlaku lagi selepas ini, tidak kira siapa yang memainkannya, lebih mudah lagi untuk kerajaan bertindak menanganinya. – ShahbudinHusin 08/07/2023.