Sekutu Kerajaan Perpaduan di Sabah, ahli politik dari parti Warisan seharusnya menjadi agen menyebar maklumat Kerajaan kepada rakyat.
Sebaliknya, kata Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia,
Razeef Rakimin, tindakan Ketua Penerangan Warisan, Datuk Azis Jamman
kebelakangan ini kelihatan seperti 'menyerang' Menteri Di Jabatan Perdana
Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd
Ali.
Malah ujar Razeef, serangan yang dibuat oleh bekas Ahli Parlimen
Sepanggar itu dilihat seolah olah cubaan menutup kegagalan beliau sepanjang
menjadi Ahli Parlimen dan Timbalan Menteri.
"Sebagai salah seorang pemimpin di dalam Kerajaan Perpaduan,
Azis sepatutnya membantu dalam menyampaikan dasar Kerajaan apatah lagi beliau
mempunyai banyak masa terluang selepas tidak lagi menjadi Ahli Parlimen.
"Namun saya melihat serangan demi serangan dilakukan kepada
Armizan, dan ianya dilihat seperti sebuah serangan terancang yang sengaja
ditujukan ke atas Gabungan Rakyat Sabah (GRS)," katanya dalam satu
kenyataan.
Menurut Razeef lagi, sekiranya serangan itu mempunyai hubungkait
dengan kegagalan Warisan mengambilalih kepimpinan Sabah beberapa bulan lalu
maka mereka perlu move on kerana dalam politik pelbagai perkara boleh berlaku.
"Biarlah Armizan melakukan tugasnya selaku Menteri dan
pemimpin parti lain dalam Kerajaan Perpaduan seperti Azis bantu menyampaikan
dasar kerajaan melalui pelbagai platform yang ada," ujarnya.
Dalam pada itu Razeef bimbang sekiranya tindakan Azis akan dilihat
oleh rakyat Sabah seperti cubaan sabotaj ke atas Kerajaan Perpaduan kerana
kurang senang dengan prestasi pemimpin GRS.
Selain itu katanya, Azis juga perlu menerangkan 17 daripada 21
tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang didakwa beliau telah selesai.
"Azis perlu menjelaskan definisi ‘selesai’ yang
dimaksudkan sama ada perkara itu telah selesai dibangkitkan, selesai
diutarakan, selesai yang sudah ada persetujuan dasar, atau selesai
yang sudah dilaksanakan.
"Ini penting kerana rakyat perlu tahu setakat mana sesuatu
perkara dalam MA63 itu telah diselesaikan. Jika ia telah selesai seperti yang
didakwa Azis namun sebenarnya masih dalam proses tertentu, ia akan memberi
kesan dan fitnah kepada Kerajaan Perpaduan yang akan dituduh membatalkan
perkara yang didakwa Azis telah selesai walhal masih dalam proses untuk
diselesaikan," katanya lagi.