MENANG 112 KERUSI DULU JIKA UMNO MAHU NAJIB DIBEBASKAN MELALUI KUASA POLITIK

 

Berikutan ucapan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi pada PAU2023 baru-baru ini berkenaan penegasan untuk terus membela serta memperjuangkan pembebasan Najib Razak, kemudian disusuli ucapan beberapa perwakilan, seterusnya diikuti tweet terbaru Zaid Ibrahim yang meminta Perdana Menteri, Anwar Ibrahim segera membebaskan bekas Perdana Menteri itu, ternampak bahawa perkara ini akan terus menjadi agenda yang berpanjangan.

Di mana-mana saja ketika ada peluang dan kesempatan, UMNO dipercayai akan terus menuntut agar Najib segera dibebaskan.

Zaid yang merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkaitan hal ehwal undang-undang dan pernah menjadi peguambela Najib dalam tweetnya berkata, membebaskan Najib adalah “demi rakyat”.

“Ke hadapan Perdana Menteri, anda perlu ubah fikiran tentang Najib – demi rakyat. Biarkan dia bebas.

“Dalam PRN akan datang ini, (kerajaan) Madani perlu menang dan anda perlu jadi Perdana Menteri untuk beberapa tahun lagi,” kata Zaid lagi dalam tweetnya itu.

Tambah beliau, jumlah RM42 juta, iaitu nilai dalam kes rasuah SRC International yang Najib disabitkan bersalah hanyalah angka yang kecil, berbanding kes-kes rasuah lain dalam negara ini.

Zaid seterusnya berkata, UMNO kini dalam keadaan lemah dan hanya Najib yang mampu membantu parti itu menang dalam PRN yang akan diadakan di enam negeri tidak lama lagi.

Memahami gesaan itu, adalah jelas ia bermaksud Zaid mahu Anwar menggunakan kuasa politiknya sebagai Perdana Menteri untuk membebaskan Najib sebagaimana Presiden PKR itu dibebaskan daripada penjara sebaik saja PH memenangi PRU 2018 lalu.

Meskipun kuasa pengampunan adalah atas budi bicara Agong, tetapi usul berkenaan boleh dibawa oleh kerajaan melalui Perdana Menteri, selain seketariat kepada Lembaga Pengampunan adalah sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Anwar selaku Perdana Menteri dan selaku pihak yang bertanggungjawab terhadap Jabatan Wilayah Persekutuan atau Kementerian Wilayah Persekutuan sebelum ini, turut juga menganggotai Lembaga Pengampunan.

Ertinya, melalui kuasa dan kedudukan Anwar itulah yang diharapkan Zaid dapat digunakan oleh Perdana Menteri untuk membebaskan Najib.

Soalnya, logikkah Najib dibebaskan sekarang?

Sebagaimana ditekankan dalam beberapa tulisan sebelum ini, keadaan Najib adalah berbeza dengan Anwar dan langsung tidak kena untuk diusulkan pembebasannya dalam waktu terdekat ini.

Ini kerana beliau belum sampai setahun lagi menjalani hukuman 12 tahun penjara yang telah dijatuhkan keatasnya, berbeza dengan Anwar yang telah menjalani penjara lebih tiga tahun daripada hukuman lima tahun ketika dipohon pembebasannya pada 2018 lalu.

Anwar akan menjadi gelak ketawa serta pertikaian dunia jika mengusulkan pembebasan Najib, bahkan amat bertentangan dengan komitmen beliau memerangi rasuah yang kerap diulang-ulangnya dalam banyak ucapan terbuka sejak memegang kuasa.

Memerangi rasuah mestilah turut disertai dengan ketegasan enggan bertolak ansur terhadap pesalah rasuah yang telah dijatuhi hukuman oleh mahkamah.

Anggapan bahawa hanya Najib mampu memainkan peranan memastikan UMNO, seterusnya gabungan parti kerajaan perpaduan memenangi PRN tidak lebih sekadar andaian tanpa fakta semata-mata.

Najib, ketika mengetuai BN pada PRU13, pencapaiannya adalah lebih buruk iaitu hanya menang 133 kerusi Parlimen berbanding 140 kerusi Parlimen pada PRU12 yang ketika itu dipimpin oleh Tun Abdullah Badawi.

Selanjutnya, pada PRU14 tahun 2018, BN di bawah pimpinan Najib buat pertama kali pula telah hilang kuasa mentadbir negara yang dimulai sejak merdeka lagi.

Lalu, di mana logik dan munasabahnya Najib didakwa mampu mencipta kejayaan?

Untuk menang, baik dalam PRN atau PRU16 akan datang, Anwar yang mengetuai kerajaan perpaduan mesti tampil dengan perkara-perkara yang baik yang boleh menggembirakan hati rakyat melalui kesepaduan seluruh jentera dan anggota pentadbiran kerajaan, bukan bergantung kepada personaliti mana-mana individu.

Bagaimana jika setelah Najib dibebaskan, tapi akhirnya UMNO dan parti kerajaan perpaduan kalah juga dalam PRN, adakah beliau perlu dimasukkan ke dalam penjara semula?

Tetapi, yang penting sekali, jika ingin mengharapkan Najib dibebaskan melalui pengaruh politik sebagaimana berlaku kepada Anwar sebelum ini dan itulah keinginan Zaid, UMNO kenalah menang terlebih dahulu pada PRU16 akan datang.

Dengan UMNO hanya menang 26 kerusi dan melalui BN 30 kerusi, kemudian cuba mendesak Anwar membebaskan Najib, itu sudah dikira terkeluar daripada norma kewajaran.

Parti-parti yang ada dalam kerajaan perpaduan sekarang tidak pernah sama sekali menjadikan pembebasan Najib sebagai agenda mereka pada PRU15 lalu.

Malah, jika UMNO dan BN dikira memperjuangkan nasib Najib, perkara itu dikira telah ditolak rakyat berdasarkan hanya kemenangan 30 kerusi Parlimen diperolehi pada PRU15 lalu.

Senang cerita, sekadar UMNO berada dalam kerajaan melalui kaedah menumpang kasih – meminjam ayat Tok Mat, Timbalan Presiden UMNO – tidak memberi apa-apa justifikasi untuk parti itu memasukkan agenda membebaskan Najib sebagai sebahagian daripada keutamaan.

Jika mahu mengulangi sejarah bagaimana Anwar dibebaskan sebelum ini, UMNO dan BN tiada pilihan lain melainkan mesti menang setidak-tidaknya 112 kerusi Parlimen pada tahun 2027 akan datang, sebagaimana PH berjaya menjadi kerajaan pada PRU14 dahulu.

UMNO dengan 30 kerusi Parlimen sedia ada ini sepatutnya berhenti dan ada sedikit rasa malu untuk berteruan serta tidak henti-henti menuntut Najib dibebaskan.

Biar PRU16 akan datang menjadi saksi dan referendum sama ada rakyat mahu Najib dibebaskan atau kekal dipenjarakan.

Rakyat pasti akan memberikan BN kemenangan sekurang-kurangnya 113 kerusi jika mereka benar-benar mahu Najib dibebaskan.

Lagi pula, dengan Najib dipenjarakan, sudah ada tiga anaknya muncul di persada politik negara dan membiarkan karier mereka berkembang sebagai pewaris perjuangan adalah lebih baik bagi UMNO daripada terus berharap serta bergantung kepada pokok lama yang entah mampu berbuah lagi atau sebaliknya. – ShahbudinHusin 15/06/2023.