LEBIH BAIK KJ JADI CALON MB DI NS DAN AZMIN KEKAL DI SELANGOR, SETIDAK-TIDAKNYA AMALAN KEDEKUT DALAM PH TAK LAGI BERTERUSAN

 

Walaupun ditawarkan PN untuk bertanding di Selangor, seterusnya dinamakan sebagai calon Menteri Besar, Khairy Jamaluddin dilaporkan belum lagi membuat keputusan berhubung tawaran itu.

Dalam masa yang sama, Khairy atau KJ sendiri menyebut tentang minatnya untuk bertanding di Selangor setelah diketepikan daripada Rembau dan diletakkan bertanding di Sungai Buloh pada PRU15 lalu.

“Terdapat perbincangan dengan beberapa pihak dan terdapat juga perbincangan mengenai peranan,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan parti politik mana yang menawarkan jawatan itu, tetapi Pas menafikan mereka ada membuat apa-apa tawaran kepada KJ.

Sebelum ini, Azmin Ali disebut-sebut akan kembali dinamakan sebagai calon Menteri Besar Selangor pada PRN yang bakal diadakan tidak berapa lama lagi.

Begitu pun, Azmin dilaporkan tidak akan mempertahankan kerusi DUN Bukit Antarabangsa yang dipegangnya sekarang, sebaliknya akan bertanding di kawasan lain sama ada dalam Parlimen Sepang atau Hulu Langat.

Sekiranya KJ setuju bertanding atas tiket PN dan seterusnya diletakkan sebagai calon Menteri Besar, Azmin dikatakan sedia berlapang dada memberi laluan kepada bekas Menteri Kesihatan itu.

Antara sebabnya, Azmin sendiri dikatakan sedar, penonjolan nama KJ lebih memberi peluang baik kepada PN untuk merampas Selangor berbanding dirinya yang sudah pernah menjadi Menteri Besar di negeri itu sebelum ini.

Namun jika KJ tidak bertanding, sumber dalam Bersatu berkata, Azmin tetap mahu kembali sebagai Menteri Besar untuk menghidupkan kembali masa depan politiknya setelah kalah di Gombak pada PRU15 baru-baru ini.

Dalam enam PRN yang bakal diadakan sebelum Jun depan, selain Selangor, negeri lain yang menjadi sasaran untuk dirampas PN ialah Negeri Sembilan.

Kedua-dua negeri itu serta Pulau Pinang sedang ditadbir PH, manakala Kelantan, Terengganu dan Kedah memang sudah sedia ditadbir PN.

Kecuali Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan adalah dua negeri yang lebih berpotensi untuk ditawan oleh PN jika kena gaya, betul strategi dan tepat persepsi yang dimainkan.

Pulau Pinang hampir pasti tidak tergugat dan dipercayai akan kekal digenggam DAP.

Bagi tujuan itu dan agar peluang PN tampak seimbang untuk menawan kedua-dua negeri tersebut, adalah lebih baik sebenarnya jika KJ diletakkan bertanding di Negeri Sembilan dan seterusnya dinamakan sebagai calon Menteri Besar bagi negeri itu.

Lagi pun, berbanding Selangor yang sudah ada calon Menteri Besar iaitu Azmin, PN Negeri Sembilan terlihat tidak ada calon Menteri Besar yang mampu memberi lebih cabaran.

Dengan demikian, disertai pengalaman sebagai Ahli Parlimen Rembau selama tiga penggal serta pernah memegang beberapa portfolio kementerian, KJ amat sesuai untuk dinamakan sebagai calon Menteri Besar Negeri Sembilan bagi PN.

Bermakna dengan itu, Azmin boleh kembali sebagai calon Menteri Besar Selangor semula.

Dengan KJ di Negeri Sembilan dan Azmin di Selangor, walaupun menang belum seratus peratus terjamin, tetapi menamakan kedua-duanya sebagai calon Menteri Besar pasti meletakkan PN mampu memberi saingan yang sengit kepada PH.

PH pula, dengan kedua-dua pemimpin itu diletakkan sebagai calon Menteri Besar, sekurang-kurangnya kenalah bekerja dengan lebih keras lagi untuk mempertahankan dua negeri itu dan tidaklah asyik dengan seruan agar pekerja parti mesti sanggup berkorban dan bekerja tanpa mengharapkan sebarang bayaran.

Dah jadi kerajaan – di negeri dan pusat pulak tu – takkan pekerja dan pejuang parti asyik-asyik disuruh bekerja secara pro bono saja?

Dulu sebelum jadi kerajaan bolehlah kami bekerja pro bono, kata seorang pemimpin akar umbi PKR Negeri Sembilan yang sedih melihat ada pemimpin atasan partinya sendiri yang seolah-olah berbangga kerana tidak berbelanja dan bersikap kedekut kepada pengikut sendiriwalaupun mereka kini sudah berjawatan menteri. – ShahbudinHusin 08/02/2023.