MAHIADDIN DERHAKA LAGI…

 

Sebagai jalan tengah untuk menyelesaikan kemelut Parlimen tergantung, Yang Dipertuan Agong telah mencadangkan agar ditubuhkan sebuah kerajaan perpaduan.

Titah penubuhan kerajaan perpaduan itu dititahkan baginda kepada Anwar Ibrahim dan Mahiaddin Md Yasin ketika kedua-duanya dititahkan mengadap baginda di Istana Negara, petang semalam.

Bagaimanapun, Mahiaddin dengan tegas telah menolak titah cadangan Agong itu.

“Kami telah bincang sejak awal. Tak akan kerjasama dengan PH. Apa tujuan sekali pun, tak setuju.

“Jadi saya diminta tandatangani surat – saya tanda ‘tak setuju’ untuk kerajaan perpaduan,” katanya pada sidang media di kediamannya.

Wahhh…sombong dan berlagaknya Mahiaddin?

Bagaimana beliau boleh begitu sombong menolak titah cadangan baik daripada Agong itu yang sebenarnya adalah untuk kebaikan negara dan kerajaan baharu dapat dibentuk dengan segera?

Tidakkah tindakan beliau itu sebenarnya suatu sikap derhaka kepada Agong?

Mahiaddin memberi alasan penolakannya itu kerana berasakan beliau lebih layak diangkat sebagai Perdana Menteri berikutan mendakwa sudah memiliki akuan bersumpah 115 Ahli Parlimen yang menyokongnya.

Sambil menunjukkan surat yang membuktikan perkara itu, namun katanya, beliau diberitahu oleh Istana Negara sokongan yang dimilikinya masih tidak mencukupi.

Dalam hal ini, Mahiaddin nampaknya tidak cukup peka, bermaklumat serta mengikuti perkembangan semasa kerana Dewan Tertinggi BN sudah pun membuat ketetapan pagi semalam bahawa tiada Ahli Parlimen mereka memberi sokongan kepadanya sebagai Perdana Menteri.

Ini bermakna, jika ada Ahli Parlimen BN telah menandatangani akuan bersumpah menyokongnya, ia sudah tidak terpakai lagi.

Selain itu, GPS turut berubah kepada berkecuali dengan menyerahkan soal perlantikan Perdana Menteri kepada Agong untuk menentukannya.

Pejabat Premier Sarawak dalam kenyataannya berkata, ia susulan kemelut politik yang berlaku di Semenanjung Malaysia ketika ini.

“Memandangkan kepada kemelut politik di Semenanjung Malaysia, GPS berpendirian bahawa mandat rakyat hendakhlah dihormati

“Oleh itu, GPS menyerahkan kepada kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong mengikut kuasa yang diperuntukan kepada Baginda dalam Perlembagaan Malaysia untuk melantik Perdana Menteri yang akan mengetuai kerajaan yang kukuh untuk mentadbir negara,” kata kenyataan itu.

Jadi, kedudukan beliau yang masih tidak cukup majoriti sebagaimana dimaklumkan Agong itu adalah betul serta benar kerana sokongan sebilangan Ahli Parlimen BN dan GPS sudah tidak terpakai dan sebab itulah, sebagai jalan tengah, baginda mencadangkan penubuhan sebuah kerajaan perpaduan.

Dengan menolak titah Agong itu, ia bukan saja menunjukkan penderhakaan beliau kepada titah Agong untuk kepentingan negara, malah sikap derhaka ini bukan pertama kali dilakukan oleh Mahiaddin.

Ketika memegang jawatan Perdana Menteri sebelum ini, berikutan banyak isu berbangkit dalam negara tidak terurus dan tidak telus susulan pandemik Covid19, Agong telah menitahkan agar Parlimen dibenarkan bersidang dengan secepat mungkin.

Malangnya, Mahiaddin tidak mematuhi titah baginda itu dan terus melengah-lengahkan pembukaan Parlimen.

Kini, sekali lagi beliau menunjukkan sikap sombong dan penderhakaan kepada Agong.

Hampir tidak pernah ada mana-mana rakyat biasa pernah derhaka sampai dua kali kepada Raja, tetapi Mahiaddin nampaknya mencatat rekod cemerlang dalam hal ini.

Bersama pelbagai deretan kegagalan sebelum ini yang tidak perlu dihuraikan lagi sehingga dijatuhkan sebagai Perdana Menteri, sikap sombong dan derhaka yang bukan sekali dilakukannya itu, dengan sendirinya menunjukkan beliau tidak layak sama sekali untuk kembali sebagai Perdana Menteri.

Perlakuan yang ditunjukkannya, selain memalukan rakyat dan negara, malah dengan sendirinya turut memberi malu kepada PN juga jika terus mahu mengekalkannya sebagai calon Perdana Menteri. – ShahbudinHusin 23/11/2022.



No comments: