Saraswathy dilantik naib presiden tak cermin sokongan akar umbi, kata bekas pemimpin PKR
KUALA LUMPUR: Pelantikan K Saraswathy sebagai naib presiden PKR bagi mewakili kaum India disifatkan sebagai “payung terjun” yang didakwa tidak mencerminkan sokongan akar umbi.
Bekas timbalan setiausaha agung PKR, S Jenapala Perumal berkata, pemimpin yang dilantik sebagai naib presiden PKR bagi mewakili kaum India mestilah orang berpengalaman dan sudah lama berjuang untuk parti.
Justeru, beliau meminta Presidennya, Anwar Ibrahim meneliti semula pelantikan itu yang didakwa akan memberi kesan kepada sokongan masyarakat India.
“Pelantikan naib presiden parti mewakili masyarakat India tidak boleh dianggap sebagai satu permainan,” katanya kepada FMT.
Rabu lalu, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR melantik dua individu sebagai naib presiden lantikan, iaitu Saraswathy dan Awang Husaini Sahari dari Sabah.
Pengumuman barisan kepimpinan penuh PKR, termasuk jawatan lantikan bagi mewakili masyarakat India dan Sabah serta Sarawak dilihat bertujuan memastikan komposisi kaum seimbang.
Ini kerana tiada wakil berbangsa India serta pemimpin dari Sabah dan Sarawak yang mengisi 20 kerusi MPP bagi penggal 2022-2025 dalam pemilihan parti itu baru-baru ini.
Jenapala yang bersama PKR selama 23 tahun berkata, pandangan dan sokongan masyarakat India amat penting dan tidak boleh diambil ringan oleh Anwar, lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
“Kita minta kepimpinan beri pertimbangan sewajarnya dan tukar pelantikan beliau (Saraswathy). Masyarakat umum tahu siapa dia dan siapa yang cadang lantik dia (Saraswathy),” katanya.
Sementara itu, ahli PKR, Michael Tamilarason yang bersama parti itu lebih dua dekad berkata, pelantikan pemimpin, termasuk naib presiden parti perlu terdiri daripada individu berkredibiliti dan berpengalaman.
Beliau berkata, pemimpin dilantik juga harus mempunyai sokongan akar umbi untuk menarik pengundi luar dan dalam, khususnya dalam kalangan masyarakat India.
“Kita perlu akar umbi sokong agenda kita. Sekarang keadaan kritikal perlu tarik pengundi luar dan dalam,” katanya yang pernah bertanding jawatan naib presiden pada 2018.