PRESIDEN AMANAH TOLAK BERSATU DAN PAS, TIMBALAN PRESIDEN PULA MAHU DUA PARTI ITU DITERIMA

 

Pemimpin pembangkang diminta berjiwa besar dengan memaafkan dan melupakan perkara lalu bagi merealisasikan ‘Khemah Besar’ sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)

Sehubungan itu, Naib Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Salahuddin Ayub menyarankan PH membuka pintu rundingan dan perbincangan termasuk kepada BERSATU dan PAS bagi memastikan pembangkang ampuh dalam menghadapi Barisan Nasional (BN).

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), berkata kesepakatan barisan pembangkang amat penting bagi menghadapi PRU-15, sekali gus memberi keyakinan kepada pengundi.

Katanya, pembangkang harus duduk semeja selain berani buat satu keputusan besar dalam menghadapi BN.

“Kalau kita berjaya satukan pembangkang dengan satu persefahaman, ini akan menyebabkan kita akan mampu menang pada PRU-15 nanti.

“Kalau kita tak capai kesepakatan kita akan hancur berkecai. Jadi saya harap kita dapat buat sesuatu dan AMANAH sendiri sentiasa akan ambil sikap proaktif dan progresif untuk melakar satu politik baharu yang kita akan lakukan secepat mungkin sebelum PRU-15.

“Kalau kita dapat adakan satu persefahaman untuk memaafkan dan melupakan, tidak lagi mengungkit masa lalu untuk kita melakari masa depan. Ini yang penting ketika ini untuk kita jadikan realiti.

“Jadi kita perlu duduk semeja fikirkan mengenai kesepakatan satu lawan satu daripada berpecah-belah,” katanya selepas majlis Iftar bersama pengamal media Johor, di sini, malam tadi.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, perbincangan antara PH, BERSATU dan PAS perlu dilakukan lebih awal untuk menghadapi musuh.

“Kita boleh berbincang sekarang, untuk bertemu kita buka pintu kita seluas-luasnya dan keputusan tidak perlu dibuat ketika ini.

“Kita berjumpa berbincang dulu. Tak bolehlah dulu kita tak berkawan, sekarang pun nak teruskan permusuhan,” katanya.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, PH juga ketika ini sedang dalam usaha mengumpulkan semua pembangkang bagi merealisasikan agenda khemah besar.

“Kita sebenarnya sedang mengumpulkan semua pembangkang dan AMANAH mainkan peranan untuk semua berjumpa bersama.

“Namun saya harus memberitahu sebarang keputusan akan diputuskan Majlis Presiden PH.

“Pembangkang perlu ada kesabaran dan semangat, sebab masih ada lagi masa untuk realisasikan khemah besar walaupun sebelum ini ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor, kita tidak boleh capai 100 peratus agenda itu, tetapi itu tidak bermakna kita tidak mampu laksanakannya.

“Perlu diingat, semua parti setuju dengan deklarasi konsep khemah besar yang mana ia satu resolusi Port Dickson membabitkan PKR, AMANAH, DAP dan UPKO pada April tahun lalu.

Oleh itu, jangan sesekali pembangkang putus asa dan berhenti di tengah jalan tanpa mencuba bersungguh-sungguh merealisasikannya,” katanya.

Sumber – https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/04/947987/pemimpin-ph-perlu-berjiwa-besar-lupakan-hal-lalu#.YmDPeK8cw0o.whatsapp

Nota – ini pula ialah kenyataan Mohamad Sabu, Presiden Amanah yang menyebut khemah besar tidak melibatkan Bersatu dan Pas – https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/04/18/khemah-besar-ph-tak-termasuk-bersatu-pas-kata-mat-sabu/



No comments: