PEGUAM, ANTARA NERAKA DAN SYURGA

 

1. Bulan pertama saya berkhidmat dengan Jabatan Peguam Negara, saya diarahkan untuk menghadiri kursus Timbalan Pendakwa Raya (TPR). Bagi yang tak tahu, TPR ni peguam Kerajaan yang kendalikan kes jenayah. Peguam swasta tidak buat pendakwaan kes jenayah. Macam kes Bella tu, TPR la yang wakili Bella. Bukan peguam TMJ ya. Side note sikit.

2. Balik kepada cerita saya tadi. Dalam kursus ini, saya ingat lagi, seorang senior TPR bagi ceramah. Dah jadi YA Hakim Mahkamah Tinggi dah senior ni. Dia cakap kerja TPR adalah membantu mahkamah menegakkan keadilan. Bukan tugas TPR nak menang kes semata2. Contohnya, bila tengah bicara, ada bukti nyata OKT tak bersalah dan dianiaya, menjadi tanggungjawab TPR untuk tarik balik kes.

3. Sama juga ketika menilai kes untuk didakwa. Sekiranya ada yang menunjukkan saksi2 mengadakan cerita atau polis tanam bukti untuk kenakan OKT, kes itu tidak harus diteruskan.

4. Menegakkan keadilan tu bukan hanya untuk menang kes, kata dia. Tapi perlu dipastikan adil pada semua, bukan hanya kepada mangsa. Adil juga pada pihak yang kena tuduh. Itu prinsip pendakwaan yang diguna.

5. Melanggar etika sekiranya nak menang kes sampai kita mengajar saksi apa yang perlu dikata atau mengada2kan bukti. Itu semua a big no-no. Kami diajar maxim latin “Fiat justitia ruat caelum”. Maksudnya “Let the justice be done, though the heavens fall”.

6. Masa di Universiti, graduan undang2 didedahkan dengan kelas Ethics atau Etika Kepengguaman. Kita diajar, sekiranya anak guam mengaku salah atas suatu kesalahan jenayah, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menasihatkan dia mengaku salah di Mahkamah.

7. Contoh, kalau datang seorang anak guam mengaku dia merogol dan meliwat kanak2, menjadi tanggungjawab Peguambela memastikan dia mengaku salah dan membantu beliau dalam prosiding untuk mendapat hukuman setimpal atau diringankan. Bayangkan kalau penjenayah ini terlepas masuk balik dalam masyarakat?

8. Masalahnya sekarang, ada peguam dapat anak guam sebegini dan sudah TAHU beliau memang bersalah, masih lagi nak dibela dan kacau ganggu kes pendakwaaan dengan isu2 teknikal. Supaya anak guam dilepaskan. Ini lah peguam jenis hauk dan tak boleh pakai.

9. Namun peguam jenis Ini lah kesukaan ramai penjenayah. Kehebatan peguam jenayah sekarang adalah berdasarkan keupayaannya melepaskan klien yang sememangnya bersalah. Alasan mereka, “my client is innocent unless the Court says otherwise”. Etika dalam buat kerja dah jadi kabur dengan prinsip sebegini.

10. Jadi tuan puan nampak tak? Jadi peguam ni banyak jenisnya. Bukan semuanya sama.

11. Makanya, saya tak berapa setuju kalau dikatakan semua peguam itu satu kaki dah masuk neraka. Ada jenis peguam yang mendakwa orang jahat dan lindungi masyarakat dari jenayah.

11. Ada jenis peguam yang membela mereka yang teraniya dan perlukan pembelaan. Namun seperti banyak profesion lain, ada segelintir yang haprak juga. Tidak adil dirangkum semuanya sama.

12. Kerja Ustaz sekalipun, kalau jenis makan duit anak yatim dan sejenis haruan makan anak, ke neraka nirrajim jugak tempatnya.

Salam hormat,

Liyana Marzuki

 

No comments: