Pampasan tanah Kampung Sg Baru wajar lebih RM1,000 sekaki - Zahir Hassan
Pampasan kepada pemilih unit kediaman yang diambil menggunakan Akta Pengambilan Tanah di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur tidak seharusnya dibayar serendah RM200,000.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Wilayah Persekutuan, Zahir Hassan, kerajaan Pakatan Rakyat (PH) yang lalu menjanjikan pampasan sekitar RM1,000 sekaki persegi untuk tanah di Kampung Baru yang syarat tanahnya dalam kategori Malay Agricultural Settlement (MAS).
Oleh itu, katanya, harga untuk tanah di Kampung Sungai Baru yang bukan di bawah syarat MAS seharusnya jauh lebih tinggi.
"Pada pandangan saya pampasan itu mesti lebih tinggi lagi daripada tawaran kerajaan PH buat sebelum ini, atau paling kurang RM1000 (sekaki) atau lebih," katanya.
Jelas Zahir, ternyata kerajaan PH yang lalu amat prihatin mengenai nasib kaum Melayu kerana dengan pampasan yang tinggi penduduk boleh menggunakan wang tersebut untuk melabur dan memperbaiki kehidupan.
Katanya, kerajaan PH tidak pun 'berkira' dengan status tanah Kampung Baru demi memastikan orang Melayu tidak mengalami kerugian.
"Tanah MAS ini, dia tidak boleh dijual beli oleh bangsa lain kecuali Melayu. Mahu disewakan ke bangsa lain pun tak boleh. Nak buat rumah buat sewa pun tak boleh, itu syarat MAS.
"Jadi, yang ini (di Sungai Baru) bukan tanah MAS dan syarat-syaratnya itu tidak tertakluk. Jadi sepatutnya pampasan mestilah melebihi tanah di Kampung Baru," ulasnya.
Penduduk di Kampung Sungai Baru sejak sebulan lalu tidak berpuas hati dengan pengambilan paksa dan tawaran oleh kerajaan dengan harga RM200,000 - RM300,000 satu unit kediaman milik mereka.
Hal itu kerana tiada rumah yang boleh dibeli dengan harga di bawah
RM500,000 di Kuala Lumpur. Malah pemilik unit kediaman pula tidak ditawarkan
lot kediaman yang sesuai bersama sama arahan berpindah yang akan tamat pada
Julai ini.