Mungkin catat 20,000 kes Covid-19 selepas Aidilfitri, pakar kesihatan beri amaran

 



Kerajaan membenarkan rakyat balik kampung untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

PETALING JAYA: Seorang pakar kesihatan awam memberi amaran jangkitan harian Covid-19 mungkin meningkat kepada 20,000 kes selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Dr Sharifa Ezat Wan Puteh dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, ini kerana kebanyakan rakyat akan pulang ke kampung untuk meraikan Aidilfitri, selain kadar suntikan dos penggalak yang rendah dalam kalangan penduduk umum dan pengambilan vaksin perlahan oleh kanak-kanak.

Semalam, Malaysia mencatatkan 6,069 kes baharu berbanding 7,140 kes yang direkodkan Isnin lalu.

“Kadar penularan varian Omicron yang tinggi dan vaksin Covid-19 tidak berkesan 100%. Menjelang musim cuti, kemungkinan kes akan meningkat,” katanya kepada China Press.

“Masih terlalu awal untuk meramalkan sama ada pandemik itu telah reda atau keadaan akan lebih baik, (tetapi) kita perlu melihat pandemik itu dari perspektif lain, termasuk peningkatan pergerakan selepas cuti dan liputan dos penggalak, khasnya apabila keadaan tidak kelihatan baik bagi warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi.”

Katanya, ia akan mengambil tiga bulan lagi untuk kes berkurangan, jika berlaku lonjakan jangkitan selepas cuti Hari Raya.

Kerajaan membenarkan rakyat beraya di kampung halaman tahun ini, selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian akibat perintah kawalan pergerakan bagi membendung penularan Covid-19.

Sharifa berkata, susulan pembukaan semula sempadan negara, kerajaan perlu berwaspada terhadap penularan varian Omicron XE di negara lain dan bersiap sedia menghadapi kemungkinan gelombang sama turut berlaku di Malaysia.

Baru-baru ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengeluarkan amaran mengenai Omicron XE – hibrid mutan Omicron BA.1 dan BA.2.

Bercakap kepada media pada 7 April lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Malaysia belum mencatatkan sebarang kes varian Omicron XE dan sedang memantau perkembangan terkini.



No comments: